April 17, 2024

PETALING JAYA – Semestinya ramai peminat setia Anuar Zain tidak mampu lagi untuk menahan keterujaan apabila penyanyi kesayangan mereka telah mengadakan sebuah konsert secara eksklusif petang 17 Februari yang lalu. Anuar atau nama lengkapnya, Shahrul Anuar Zain, 53, sanggup mengeluarkan bajet besar mengagihkan lebih 1,000 anak patung beruang (Teddy Bear) untuk mereka yang hadir ke Konsert AZ40 Exclusive Up Close & Personal di Jio Space sebagai kesinambungan dari konsert yang sebelumnya. Konsert yang lebih mesra dan intimasi ini adalah untuk mereka yang masih lagi tidak boleh move-on dari konsert yang pernah diadakan di Stadium Malawati pada 28 Oktober tahun lalu.

Tidak pernah puas, meski persembahan yang dipenuhi dengan kasih dan sayang dari Anuar Zain, namun selama durasi 2 jam 30 minit itu dipenuhi dengan selfie di sana sini dan acara baling beratus-ratus anak patung beruang.Anuar Zain meraikan 4 dekad lamanya beliau di dalam industri muzik tanahair. Jangkamasa yang sebegitu lama menghimpun pengalaman, perjalanan suka duka dan jerih payah anak seni pastinya membuatkan ramai begitu teruja dan turut tidak sabar. Memulakan karier seninya seawal usia 14 tahun dengan populariti “Kain Pelikat”, sehingga kini 40 tahun kemudian, nama beliau masih disebut-sebut peminat setia yang sanggup berkorban kasih demi meraikan bersama-sama.

Konsert yang dianjurkan oleh Jiobuddy dan AZN telah diuruskan oleh Altus ProHouse telah dihadiri seramai 1000 penonton bagi menyaksikan kemunculan Anuar berada di atas pentas dengan mengenakan jaket rona merah jambu, santai bercelana denim ianya sesuatu yang jarang-jarang dilihat. Ini kerana beliau sering tampil segak memakai suit blazer lengkap. Kali ini, memilih untuk tampil berbeza dan bersahaja, Anuar Zain memulakan persembahan dengan lagu Kau lah Yang Satu sebagai pembuka tirai. Jerit-pekik kedengaran dari segenap ruang, aura ‘lelaki ini’ begitu mempesonakan membuat penonton semakin resah gelisah sebaik sahaja lagu Sesucinya Cintamu dilantunkan.

Anuar Zain memukau penonton bukan sahaja dengan kemantapan vokal dan lagu-lagu malar segar beliau, malah beliau juga seorang yang sangat peramah dan penuh kasih sayang. Hubungan akrab yang terbina antara sang penyanyi dan peminat setia adalah sesuatu yang sangat dijaga rapi oleh bintang kesayangan ramai ini. Mahukan setiap yang hadir merasa sama rata, Anuar Zain sentiasa mahu memberi ‘lebih’ atas hadiah kesetiaan mereka. Keriuhan berebut anak patung beruang pasti kedengaran di perantaraan lagu yang dibawakan. Rendisi Permata  dan Suria & Siarra berkumandang sebelum Anuar Zain sekali lagi sporting turun dari pentas untuk melayan peminat-peminat berswafoto.

Menurut Anuar, idea untuk memberi hadiah anak patung beruang kepada penonton yang hadir datang daripada pengurusan Anuar Zain Network. Beliau juga menjelaskan signifikan anak patung beruang pada dirinya, Anuar menyifatkan patung itu sangat comel dan empuk untuk dipeluk. Terdapat tiga saiz anak patung beruang yang telah diberikan kepada penonton iaitu anak patung beruang kecil sebanyak 800, sederhana 250 dan dua bersaiz gergasi.

Anuar Zain yang sengaja berbaring di antara 2 anak patung beruang besar di atas pentas ketika menyanyi dan beliau sempat mengusik. “Siapalah yang bertuah akan bawa balik Teddy Bear ni ya.” ujarnya. 

Anuar juga meluangkan masa bersama peminat bertuah dengan permainan interaktif sambil dihoskan oleh penyampai radio Dina. Pelbagai soalan berkenaan diri Anuar Zain telah diajukan oleh Dina kepada peminat yang terpilih ini untuk menguji sejauh mana pengetahuan dan minat mereka terhadap penyanyi tersebut. Namun rata-rata mereka dapat menjawabnya dengan betul menandakan mereka adalah peminat setia Anuar Zain.

Seterusnya, Anuar mendendangkan medley tanpa iringan muzik Saving All My Love, Emosi, Hello dan Hujan. Anuar Zain tenggelam dalam keghairahan pelukan peminat-peminat. Sempat Ziana Zain melontarkan vokalnya apabila dihulur mikrofon, menjadi salah seorang penonton yang tidak pernah ketinggalan memberi sokongan padu buat adik kesayangannya.

Usai lagu Ketulusan Hati dipersembahkan, peminat dan Anuar Zain sendiri dikejutkan dengan kemunculan kek besar bertulis ‘AZ 40’ khas untuk sambutan hari lahir Anuar Zain pada 15 Februari baru-baru ini. Konsert AZ40 Exclusive Up Close & Personal ini telah mencipta sejarah kerana tidak pernah seumpamanya, menyaksikan Anuar Zain merangkul peminatnya dengan jiwa besar dan penuh kasih sayang. Semua yang hadir tenggelam syahdu dalam kemeriahan, sorakan dan tepukan gemuruh tak henti-henti.

Anuar Zain telah memberikan semua yang terbaik untuk peminatnya, malah beliau turut dihormati dan dicintai oleh setiap satu hati yang mengidolakan beliau. Seperti yang dilagukan Andainya TakdirCinta Takkan Berakhir sememangnya tidak ada seorang pun yang mahu petang itu berakhir. Meski pun memberi cuma Sedetik Lebih demi untuk Kau Bunga CintakuLelaki Ini tidak pernah gagal mencipta momen yang sangat manis, romantis dan penuh magis.