Konsert Farmasi Soundzation pukau penonton dengan gabungan artis Malaysia dan Indonesia

KUALA LUMPUR – Konsert Farmasi Soundzation yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 30 November lalu, berjaya memukau lebih 4,000 penonton, menampilkan tiga bintang dari dua negara, Malaysia dan Indonesia. Persembahan eksklusif ini dianjurkan oleh INT X Group dengan gabungan penghibur terkenal seperti Elly Mazlein, Bunga Citra Lestari (BCL), dan bintang muda Indonesia, Ghea Indrawari.

Elly Mazlein yang menggalas tugas sebagai pengacara majlis berjaya mencuit hati penonton dengan telatah spontannya, menjadikan seluruh dewan konsert gamat dengan gelak tawa tanpa henti.

Pembukaan Penuh Patriotisme

Sebelum pentas diterangi dengan aksi-aksi memukau, pemuzik legenda Malaysia, Man Kidal, yang bertindak sebagai Pengarah Konsert dan Muzik, membuka acara dengan petikan gitar lagu kebangsaan, Negaraku. Penonton berdiri memberikan penghormatan penuh semangat sebelum konsert dimulakan.

Persembahan Ghea Indrawari Menyentuh Hati

Bekas peserta Indonesian Idol, Ghea Indrawari, 26, memulakan malam dengan persembahan memukau melalui lagu-lagu seperti Oh Tuhan!, Malaikat, dan Manusia Paling Bahagia. Mengenakan gaun anggun, Ghea meluahkan rasa terharunya dapat tampil buat pertama kali di Malaysia.

“Ini adalah konsert saya yang pertama di Malaysia. Tak sangka ramai yang hadir malam ini untuk menikmati lagu-lagu saya,” ujar Ghea, yang pernah menjadi Duta Spotify EQUAL dan wajahnya dipaparkan di Times Square, New York.

Ghea turut membuat kejutan dengan menyanyikan lagu popular nyanyian asal Zee Avi, Kantoi, yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. Penampilan Ghea diserikan dengan pelbagai genre muzik seperti pop, R&B, jazz, dan balada. Lagu Jiwa Yang Bersedih, yang mencatat lebih 50 juta penstriman di Spotify, menjadi antara persembahan paling dinantikan.

Bunga Citra Lestari Memukau dengan Suara Emas

Pentas kemudian diambil alih oleh Bunga Citra Lestari (BCL), 41, yang membuka persembahan dengan lagu rancak seperti Dance Tonight dan Pernah Muda. Persembahan BCL diteruskan dengan medley Patah Hati/Kecewa Aja serta lagu hit Ingkar, yang melonjakkan popularitinya.

“Saya sering ke Kuala Lumpur atas urusan keluarga, dan malam ini lebih istimewa kerana keluarga saya di Malaysia turut hadir menonton,” kata BCL, yang memiliki hubungan rapat dengan keluarga Allahyarham suaminya, Ashraf Sinclair.

Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu yang menjadi ikon kerjayanya seperti Cinta Sejati dan Menghapus Jejakmu. Sebagai penutup, BCL mendendangkan Aku Dan Dirimu, lagu duet asal bersama Ari Lasso, sebelum mengakhiri konsert dengan Karna Ku Cinta Kau dan Badai Telah Berlalu.

Malam Yang Menggamit Kenangan

Konsert Farmasi Soundzation bukan sahaja menjadi platform untuk menonjolkan bakat artis-artis Malaysia dan Indonesia tetapi turut menyemarakkan semangat persahabatan dua negara. Dengan barisan artis hebat dan sokongan luar biasa penonton, acara ini mencipta memori yang pasti diingati.