May 21, 2024

KUALA LUMPUR – Konsert penyanyi, penulis dan pempengaruh popular Indonesia, Fiersa Besari yang dijadualkan berlangsung di ZEPP Kuala Lumpur pada 23 Ogos depan ditukar kepada tarikh baharu. 

Konsert Pertunjukan Tunggal Berjalan Mundur Fiersa Besari Live In Kuala Lumpur itu dijadualkan semula pada 12 Oktober 2023, bagaimanapun masih mengekalkan ZEPP Kuala Lumpur sebagai lokasi. 

Pengarah Pemasaran Seraya Group, Intan Dhenisya dalam satu kenyataan media berkata, meskipun sudah membuat pelbagai persediaan, mereka akur apabila tarikh konsert tersebut terpaksa dianjakkan. 

Fiersa Besari

“Keputusan ini agak berat untuk kami lakukan, malah dengan rendah diri kami memohon maaf atas segala kesukaran disebabkan perubahan tarikh konsert tersebut. 

“Di sebalik apa yang berlaku, ia memberikan kami, termasuk Fiersa sendiri, lebih ruang untuk membuat persediaan supaya dapat tampil lebih maksimum pada konsert itu nanti. 

“Tarikh baharu itu dipilih dengan begitu teliti, selain mengekalkan lokasi yang sama untuk memastikan penonton mendapat kepuasan sepenuhnya menerusi persembahan hebat Fiersa yang begitu ditunggu-tunggu peminat,” katanya. 

Tambah Intan lagi, Seraya Group selaku penganjur komited dalam memastikan semua pemegang tiket menikmati pengalaman terindah sepanjang Fiersa beraksi di ZEPP Kuala Lumpur. 

“Bagi pemegang tiket sedia ada, tiket mereka secara automatik akan dipindahkan ke tarikh baharu tersebut. Memahami kesulitan yang dialami, mereka akan diberi peluang bertemu Fiersa Besari dalam sesi eksklusif Meet & Greet nanti,” katanya. 

Pertunjukan Tunggal Berjalan Mundur Fiersa Besari Live In Kuala Lumpur bakal membawa penonton meneroka perjalanan kerjaya seni jejaka kelahiran Bandung, Indonesia itu sepanjang 14 tahun berkarya. 

Acara itu juga menjadi platform untuk mempromosikan karya Fiersa menerusi lima album yang dihasilkannya, termasuk album terbaharu, Berjalan Mundur yang menemui peminat pada November lalu. 

“Menerusi persembahan lagu popularnya, selain memperkenalkan rangkaian lagu terbaharu, konsert ini juga secara tidak langsung memberikan inspirasi dan keghairahan kepada peminat untuk meneroka karya yang pernah dihasilkan Fiersa,” katanya. 

Tiket berharga RM159 (Runtuh), RM198 (Garis Terdepan), RM301 (Juara Kedua) dan RM3,403 (Rumah – VVIP Box untuk 8 orang) boleh diperoleh menerusi pautan: ticket2u.com.my.

Untuk perkembangan terkini dan maklumat berkaitan konsert Berjalan Mundur Fiersa Besari Live In Kuala Lumpur, layari akuan Instagram: @serayalive.