Konsert GenKRU 2025 Catat Dua Pengiktirafan Malaysia Book of Records

KUALA LUMPUR, 12 Mei 2025 — Kumpulan muzik legenda KRU bersama penganjur konsert mereka, Icon Entertainment (M) Sdn Bhd, mencatat sejarah baharu dalam industri hiburan tempatan apabila menerima dua pengiktirafan berprestij daripada Malaysia Book of Records (MBR) menerusi kejayaan penganjuran Konsert GenKRU 2025.

Konsert yang berlangsung selama empat malam berturut-turut di Axiata Arena, Bukit Jalil, diiktiraf sebagai “Most Shows in a Single Concert Series”, satu pencapaian luar biasa yang membuktikan kekuatan jenama KRU selepas lebih tiga dekad dalam industri.

Trio adik-beradik — Dato’ Norman Abdul Halim, Dato’ Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim — menzahirkan rasa syukur atas sokongan peminat yang menjadi pendorong utama kepada kejayaan konsert ini.


Dari kanan: Kumpulan KRU (Edry, Norman, Yusry), Iman Tang dari Icon Entertainment, Yang Berusaha En. Nik Kamaruzaman Nik Husin, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi – yang mewakili Yang Berhormat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyempurnakan penyerahan sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR).

Mereka turut ditemani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia Iliyas Jamil (berbaju kuning) dan Ketua Pegawai Eksekutif MBR Christopher Wong serta wakil.

“Pencapaian ini bukan sekadar untuk KRU, tetapi adalah hadiah kepada peminat yang telah menyokong kami sejak awal. Daripada perancangan asal satu malam, akhirnya menjadi empat malam — ini semua kerana anda,” ujar Norman mewakili kumpulan KRU.

Dalam masa sama, Icon Entertainment turut mencipta rekod tersendiri apabila diiktiraf dengan kategori “Most Concert Tickets Sold Out in an Hour” selepas 8,000 tiket habis dijual dalam tempoh hanya satu jam.

“Pengiktirafan ini milik semua peminat. Ia bukti bahawa produk tempatan mempunyai tempat istimewa di hati rakyat Malaysia. Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus menyemarakkan penganjuran konsert-konsert tempatan,” kata Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.

Konsert GenKRU 2025 menyaksikan kehadiran lebih 30,000 peminat dan turut menampilkan kemunculan istimewa artis undangan seperti Feminin, Elite, AC Mizal dan Adam AF — menjadikan malam tersebut bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah kembara nostalgia buat ramai yang membesar bersama karya KRU.

Menurut Yusry, konsert ini ibarat satu “terowong masa” yang membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan muzik 90-an.

“Saya benar-benar rasa seperti berada dalam mesin masa, kerana anda boleh kembali ke masa lalu dan mengimbau zaman muda anda,” ujarnya.

Norman pula berkongsi bahawa kejayaan empat malam konsert adalah di luar jangkaan mereka.

“Kami sangka konsert di Istana Budaya dahulu adalah yang terakhir. Tapi bila muncul idea untuk keluarkan lagu baru, kemudian album penuh, dan akhirnya konsert… dari satu malam jadi dua, tiga dan akhirnya empat malam. Syukur semuanya berjalan lancar,” katanya.

Edry menambah, sambutan luar biasa peminat menjadi pendorong untuk mereka menambah malam persembahan.

“Bila Iman Tang tunjuk hampir 200 ribu orang masih cuba dapatkan tiket, kami rasa ini satu pengorbanan yang berbaloi untuk memberi pengalaman tak terlupakan kepada peminat KRU,” jelasnya.

Tahniah buat KRU dan seluruh pasukan produksi. Empat malam konsert penuh — itu bukan kejayaan biasa. Ia adalah lambang cinta peminat, bukti pengaruh muzik tempatan, dan penghormatan kepada legasi seni yang dibina dengan visi dan dedikasi.

Kredit foto: Bangsawan Pictures