KUALA LUMPUR, 19 Mac 2025 – Ratu Pop Indonesia, Dato’ Sri Rossa Roslaina, bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025 menerusi konsert berskala besar, Here I Am. Konsert ini bukan sahaja meraikan perjalanan hampir tiga dekad beliau dalam industri seni, tetapi juga menjadi kesinambungan kepada kejayaan siri konsert terdahulu seperti Rossa 25 Shining Years (2022) dan Another Journey: The Beginning (2023), yang telah menarik lebih 80,000 penonton di tiga negara.
Menurut Rossa, konsert ini lebih daripada sekadar sebuah persembahan, tetapi satu manifestasi bagi mereka yang menghargai karyanya agar lebih menyayangi dan menerima diri sendiri.
“Sebagai penyanyi, Here I Am menjadi penanda aras perjalanan karier saya, merangkumkan lagu-lagu hits, album, pencapaian, serta konsert yang telah saya lalui sepanjang bergelar anak seni. Saya juga mahu mengajak peminat untuk lebih menghargai diri sendiri tanpa rasa rendah diri,” katanya.

persiapan rapi dan pengalaman istimewa
Mengenang kali terakhir beliau mengadakan konsert di Bukit Jalil kira-kira 15 tahun lalu, Rossa mengakui keterujaannya untuk kembali ke pentas tersebut.
“Saya masih ingat ketika pertama kali mengadakan konsert di sini dan bertanya mengenai kapasiti penonton. Kali ini, saya berjanji untuk memberikan persembahan yang lebih baik, sesuai dengan perkembangan trend muzik semasa,” tambahnya.
Bagi memastikan konsert Here I Am tampil lebih megah dan bertenaga, Rossa kini giat menjalani latihan vokal serta merancang susunan muzik baharu. Malah, beliau turut berkolaborasi dengan pengarah seni dan pasukan teknikal bagi memastikan aspek pencahayaan, teknologi hologram serta elemen visual lain memberikan pengalaman luar biasa kepada penonton.
Selain itu, Rossa juga akan menjalani latihan bersama pemuzik dan penari di Australia dalam masa terdekat bagi memastikan kesempurnaan setiap persembahan.

kolaborasi eksklusif bersama artis serumpun
Konsert Here I Am akan turut menampilkan beberapa bintang hebat sebagai artis jemputan, termasuk Ariel Noah dari Indonesia serta Ernie Zakri dan MK K-Clique dari Malaysia.
“Saya belum pernah berkolaborasi dengan Ernie dan MK sebelum ini, jadi peluang ini sangat saya nantikan. Ia membuktikan bahawa muzik tidak mengenal sempadan, dan saya percaya kehadiran mereka akan memberikan pengalaman yang luar biasa kepada penonton,” ujarnya.
konsert berkonsep amal, tiket mula dijual
Dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama SAH Entertainment, konsert ini turut membawa misi kebajikan. Sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin bagi membantu mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Aizuddin Ghazali, berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Rossa dalam usaha murni ini.
“Kami mengalu-alukan penyertaan pihak korporat dan individu untuk membeli tiket kategori Royale, First Class dan Executive, sekaligus menyumbang kepada program pendidikan melalui konsep Berhibur Sambil Beramal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi sumbangan sempena Aidilfitri kepada anak-anak yatim yang hadir di majlis sidang media dan berbuka puasa bersama Rossa di Hotel Sunway Putra, semalam. Pada majlis itu, Rossa bersama PRIHATIN meraikan anak-anak dari Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras, dengan memberikan sumbangan berupa pakaian, duit raya, dan barangan keperluan harian.

Tiket konsert Here I Am dijual pada harga bermula RM228 (Festival) hingga RM788 (Diamond Center), tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran. Pembelian boleh dilakukan secara dalam talian di www.ticket2u.com atau melalui wakil korporat di talian 019-288 9764 (Puan Cik Rohaiza) dan e-mel ro***@*************in.com.
Selain Kuala Lumpur, konsert ini turut akan diadakan di Indonesia Arena, Jakarta pada 23 Mei 2025 serta di Singapura pada penghujung tahun.