SINGAPURA – Sentiasa menghormati dan menghargai bakat emas yang dimiliki bintang atau penyanyi legenda, Muse+ buat pertama kali mempersembahkan sebuah konsert dengan konsep unik yang membabitkan para otai yang disifatkan ‘sangat menyengat’.
Dinamakan sebagai Konsert Hitster Vol 1 – Otai Sangat Menyengat, konsert ini menghimpunkan empat nama besar yang menggabungkan tiga vokalis terunggul dari Malaysia bersama seorang vokalis evergreen dari Singapura.
Mereka adalah Dato’ Nash, Zamani, Ameng Spring, dan Jatt Ali, yang buat pertama kali akan bergabung di atas satu pentas pada 1 Februari 2025 di The Star Theatre, Singapura, bermula pukul 8 malam.
Keempat-empat nama ini pernah dan masih menyemarakkan industri muzik Nusantara apabila menjadi frontman kugiran popular seperti Lefthanded (Dato’ Nash), Black Dog Bone (Jatt Ali), Spring (Ameng), dan Slam (Zamani).
Pengarah Urusan Muse+, Atrez, meluahkan rasa keterujaannya dengan menjelaskan, “Muse+ dengan penuh bangga membuka tahun 2025 dengan Konsert Hitster Vol 1 – Otai Sangat Menyengat, yang julung kali diadakan untuk membangkitkan nostalgia serta menyatukan hati dan jiwa semua generasi menerusi muzik.
“Dato’ Nash, Zamani, Ameng Spring, dan Jatt Ali adalah vokalis paling layak mengisi konsert edisi perdana ini. Pemilihan mereka dibuat berdasarkan jenama dan karya-karya hit yang telah menjadi pujaan peminat meski zaman terus berubah.”
Antara karya-karya ikonik yang bakal dihidupkan semula di pentas ialah Pada Syurga Di Wajahmu (Dato’ Nash), Tak Mungkin Berpaling (Zamani), Sampai Hati (Ameng Spring), dan Khayalan (Jatt Ali).
Gabungan Pertama yang Dinanti
Sementara itu, Zamani menyifatkan pembabitannya dalam konsert ini sebagai penghormatan.
“Syabas kepada penganjur kerana membawa konsep konsert yang unik, menggabungkan empat vokalis hebat di atas satu pentas. Ini kali pertama saya berkongsi pentas bersama Nash, Ameng, dan Jatt Ali, dan saya sangat teruja. Nantikan persembahan istimewa kami!” Katanya.
Konsert Pembuka Siri Legenda
Menurut Atrez lagi, Konsert Hitster Vol 1 – Otai Sangat Menyengat bakal menjadi pembuka kepada siri konsert serupa pada masa depan.
“Selepas mengetengahkan empat vokalis lelaki, mungkin kami akan membawa barisan penyanyi legenda wanita pula. Walaupun sukar ‘mencuri masa’ para otai kerana jadual mereka yang sibuk, usaha ini sangat berbaloi untuk menghidupkan seni muzik mereka.” Ujarnya.
Maklumat Konsert:
• Tarikh: 1 Februari 2025
• Lokasi: The Star Theatre, Singapura
• Masa: 8 malam
• Penganjur: Muse+
Tiket kini boleh didapati secara dalam talian melalui www.startix.sg. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini!