KUALA LUMPUR : Eraventures Events dengan kerjasama LampuNeon membuka tirai tahun 2023 dengan menganjurkan konsert Indie Alliance yang telah berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, Ahad lalu. Antara band yang beraksi di konsert tersebut merupakan band-band yang sudah lama bertapak dalam muzik aliran indie. Band yang telah diberi ruang dan peluang untuk beraksi di pentas indie terdiri daripada Kumpulan Tilu, Naratu, Ampunk Sindicate, The Times, Joanna & Co dan Gerhana Skacinta.
Konsert yang bermula sekitar jam 5 petang itu terlebih dahulu dimeriahkan dengan aksi-aksi bertenaga daripada Tilu, Ampunk Sindicate dan Naratu. Lebih 1000 pengunjung yang mewakili pelbagai genre telah memenuhi lokasi konsert berlangsung sejak petang.
Persembahan disambung semula seusai waktu maghrib melabuhkan tirainya. Joanna & Co tampil dengan 11 buah lagu yang cukup santai. Joanna & Co memberikan sebuah persembahan yang penuh energetik agar penonton yang datang menyaksikan terus setia hingga ke titik akhir persembahan.
Di pertengahan persembahan mereka, Joanna telah mengundang Joey Stonebay untuk berkolaborasi menerusi lagu Selamat Datang Ke Duniaku dan Kalau Cinta. Selain lagu Lutsinar, Biru, dan saksikan, Joanna & Co tampil dengan lagu yang cukup lengkap dengan mesej positif demi Palestine menerusi Lindungiku. Go Ahead, Nostradansa, Kini Aku Sepi dan Aku Pelangi menjadi encore kepada persembahan Joanna & Co.
Kemunculan kumpulan The Times seumpama memberi warna kepada konsert Indie Alliance. kumpulan yang ditubuhkan pada 2004 ini pastinya menjadi pelengkap setelah mereka mendendangkan lagu-lagu hits yang terdapat dalam album-album mereka. Membuka tirai dengan Manusia Serigala, Separa Sedar dan Pesona Algebra.
Bukan setakat menghiburkan peminat sahaja, mereka juga berbesar hati menghadiahkan sepasang kasut berjenama Dr Marten menerusi lontaran secara rawak. Membawakan muzik yang bercitarasakan muzik Mod/rock and roll 60-an, The Times menghangatkan lagi suasana menerusi Picagari, Merpati Putih (saduran daripada OAG), Wanita, Tunjuk Perasaan, Gadisku Dalam Koma serta Singapura ke Kuala Lumpur.
Gerhana Skacinta (GSC) merupakan band terakhir yang membuat persembahan di konsert Indie Alliance. Mereka membawa penonton meneroka genre Ska Rocksteady dan Reggae yang telah menjadi aliran muzik mereka.
Kemunculan mereka di atas pentas membuatkan penonton menyanyi bersama menerusi lagu saduran daripada Sweet Charity berjudul Jangan Tunggu Lama Lama dengan mood ska yang menjadi pilihan mereka.
Kumpulan yang sudah bertapak di awal tahun 2000 ini terus mengasak khalayak menerusi Brand New Day, Time Will Tell dan Right Back. GSC kemudiannya membawakan lagu-lagu yang di petik dari album “Boss Sound”, Is There Any Soul In Yo Music, Little Bit Of Skalypso dan sebuah lagu yang pernah di popularkan oleh Sheila Majid iaitu Antara Anyir dan Jakarta. Tidak ketinggalan lagu Andai dan Senyuman Ragamu.
Setelah GSC melabuhkan tirai menerusi lagu Musik Tanpa Sempadan, namun rata-rata penonton tidak berganjak dan mahukan mereka membawa lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, apatah lagi Widy telah membocorkan lagu tersebut sejak awal lagi.
Encore yang cukup berjaya apabila Edy J yang memakai tarbus mengundang semua artis yang telah membuat persembahan sebelumnya naik ke atas pentas menyanyikan bersama-sama lagu Ali Baba Ska yang telah menjadi klimaks konsert Indie Alliance tersebut.