Ratu Rock Malaysia mengucapkan terima kasih untuk 35 tahun dengan konsert 2 hari
KUALA LUMPUR – Malam tadi telah menjadi saksi kehebatan ratu rock negara, ELLA yang ternyata masih berbisa. Bertempat di Arena Axiata Bukit Jalil, lebih 10,000 peminat hadir untuk menyaksikan konsert hari pertama ‘JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA’. Konsert anjuran bersama oleh penganjur acara terkemuka Hitman Solutions dan syarikat pengurusan Ella iaitu RockQueen ini telah membuatkan para peminat, rakan media dan rakan artis tidak berganjak dari tempat duduk mereka dari mula sehingga habis.
Ella menyanyikan lagu-lagu hit yang pernah menjuarai carta muzik: Sembilu, Pengemis Cinta, Tiada Tangis Lagi, Kesal, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Cinta Selembut Sutera, Dua Insan Bercinta, Standing In The Eyes Of The World, Peace Love Rindu dan banyak lagi, berjumlah 35 buah lagu kesemuanya, mewakili 35 tahun Ella dalam industri muzik. Ella juga kejutkan peminat dengan penampilan khas oleh Amy Search yang turut menghiburkan peminat.
Set up konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota telah direka khas untuk Ratu Rock, menggambarkan perjalanannya sebagai seorang artis. Hitman Solutions mereka pentas berinspirasikan kepingan-kepingan puzzle yang dicantumkan. Ella juga telah mencipta sejarah dan direkodkan dalam Malaysian Book of Records sebagai artis tempatan yang pertama habis menjual tiket konsert dalam tempoh 24 jam di Arena Axiata Bukit Jalil. Ella telah menaikkan lagi nama artis tempatan dengan konsert bertaraf antarabangsa ini.
Menurut Ella, segala yang berlaku di konsertnya malam tadi adalah momen yang paling indah buat dirinya.
“Alhamdulillah, pertama sekali syukur di atas semua nikmat yang telah Allah SWT kurniakan. Kelu lidah untuk saya ungkapkan perasaan ketika ini, malam ini terpahat sebagai memori yang sememangnya manis setelah bergelar penghibur sepanjang 35 tahun dalam karier saya, saya juga teruja dengan sambutan luar biasa dari semua penonton dan peminat yang hadir.
“Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Hitman Solutions dan Rockqueen di atas penganjuran hebat, dan penghargaan saya semestinya buat semua peminat yang sudi hadir ke konsert pada malam ini. Saya tidak akan berada di sini tanpa sokongan anda semua, yang sedari awal telah banyak menyokong sehinggalah ke hari ini.
“Jangan gusar dan risau, doakan agar saya dapat terus sentiasa mewarnai dunia anda selagi mana diizinkan.
“Insya-Allah, semoga kita dapat berjumpa lagi di siri konsert berlainan yang akan datang. Peace, love, rindu.” Katanya ditemui media sejurus selesai mengadakan persembahan.
Menurut Ceo dan Pengasas Hitman Solutions, Encik Rohit Rampal, “Ella merupakan penanda aras kecemerlangan industri dan ikon muzik di Malaysia. Sememangnya wajar konsert ini diadakan untuk meraikan ulang tahunnya yang ke-35 dan sesuatu yang monumental sebagai ucapan terima kasih kepada semua penyokongnya.
“Pihak Rockqueen dan Hitman Solutions telah bekerja keras untuk memastikan setiap perancangan berjalan dengan lancar dari persiapan konsert ke rekaan pentas. Kami ingin mencipta satu kenangan indah yang tidak dapat dilupakan oleh peminat Ella.
“Kami juga membawa kejutan istimewa untuk peminat dengan penggunaan LED wristband – gelang tangan yang mengandungi diod pemancar cahaya dan penerima frekuensi radio yang boleh diprogramkan oleh pengarah konsert untuk menyelaraskan lampu berdasarkan lagu. Ella merupakan artis tempatan pertama yang menggunakan Xyloband untuk konsert di Malaysia.
“Kami sangat berterima kasih di atas peluang ini dalam mencipta suatu sejarah untuk seorang legenda dan berharap untuk terus memperjuangkan industri muzik tempatan dan maju bersama-sama.” Katanya.
Video sidang media Ella sejurus konsert di bawah ini: