December 6, 2024

SHAH ALAM – Konsert Jiwa Kacau yang menampilkan band terhangat di pasaran telah berjaya menarik lebih 5,000 penonton di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam. Empat band terdiri daripada kugiran Masdo, Bunkface, Insomniacks dan Hujan dipilih sebagai lambang apresiasi anak-anak muda terhadap femonena yang dicetuskan kugiran ini dalam genre masing-masing.

Masdo
Masdo mempunyai kelompok peminatnya tersendiri

Konsert anjuran MND Sport & Event Sdn Bhd berjaya menarik penonton untuk menikmati pelbagai genre muzik yang ditampilkan oleh setiap band. Konsert ini menjadi satu petanda aras bagi penganjur untuk menganjurkan lebih banyak lagi acara konsert di masa akan datang.

Peminat BBNU begitu teruja dengan kemunculan Insomniacks yang telah mempersembahkan enam buah lagu antaranya Langgar, Here Again, Igauan Malam, Reminisensi, Sempurna dan Pulang.

Insomniacks
Insomniacks juga tidak kurang hebatnya

Kugiran Masdo yang menampilkan muzik ala 60-an mempersembahkan lapan buah lagu antaranya Janji Manis, Miss Flower, Teruna dara, Inilah Jalannya, Dinda, Bunga, Mprnr dan Bercanda Di Malam Indah. 

Kemunculan Bunkface menjadi gamat apabila vokalis Bunkface, Sam, mempersembahkan lagu-lagu hits Bunkface diiringi suara penonton yang turut menyanyi bersama. Adalah menjadi kebiasaan apabila penonton membuat moshing di setiap konsert Bunkface. Sedikit kekecohan telah berlaku antara penonton dan pengawal keselamatan pentas tetapi keadaan dapat dikawal dengan baik.

Bunkface
Aksi lincah Bunkface di pentas Jiwa Kacau

Kugiran yang paling dinanti-nantikan oleh kebanyakan peminat adalah Hujan dimana vokalis utamanya Noh muncul dengan aksi lincah di atas pentas menjadikan suasana konsert ‘hidup’ sesuai dengan tema ‘Jiwa Kacau’. Hujan mempersembahhkan sebanyak lapan buah lagu antaranya Obsesi, Mencari Konklusi, Dugaannya, Perindu Kalbu, Jiwa Kelajuan, Ahmoi Chantek, Lonely Soldier Boy, Empayarmu dan Aku Scandal.

Hujan
Hujan antara kugiran yang paling dinanti-nantikan oleh kebanyakan peminat

Kredit Foto : ECHOLALIA PICTURES