Konsert Kasi Gegar: Cromok dan Amuk bakal bergabung April ini

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya dalam sejarah muzik rock tanah air, dua kumpulan legenda, Cromok dan Amuk, bakal bergabung di atas satu pentas dalam Konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk yang akan berlangsung pada 26 April 2025, jam 9 malam di N9 Arena, Nilai.

Konsert yang dianjurkan oleh YNS Event Management ini bukan sahaja menyaksikan kolaborasi epik antara dua kumpulan rock dan metal terkenal Malaysia, malah turut menjadi persembahan pertama yang berlangsung di N9 Arena, Nilai selepas melalui proses naik taraf. Sebelum ini, venue berkenaan dikenali sebagai Stadium Tertutup Nilai yang dibina khas sempena Sukan Malaysia (Sukma) ke-10 pada tahun 2004.

Menurut Pengarah Eksekutif YNS Event Management, Encik Mohd Agmeer Hj Farouke, konsert ini melakar sejarah tersendiri dengan menggabungkan Cromok dan Amuk dalam sebuah acara berskala besar.

“Kita belum pernah melihat dua kumpulan hebat ini digandingkan dalam satu konsert besar sebelum ini. Ini satu peluang keemasan untuk peminat menyaksikan mereka beraksi di pentas yang sama,” katanya.

Pengarah Eksekutif YNS Event Management, Encik Mohd Agmeer Hj Farouke

Gandingan Epik yang Dinantikan

Bandi Amuk, vokalis kumpulan Amuk, turut mengakui bahawa gandingan ini adalah sesuatu yang sudah lama dinantikan oleh peminat.

“Dari dulu lagi peminat bertanya bila Amuk dan Cromok akan bergabung. Jadi apabila pihak YNS Event Management menghubungi saya untuk konsert ini, saya cadangkan mengapa tidak kita jadikan ia sebagai ‘Cromok vs Amuk’. Mereka terus bersetuju kerana ini memang impian peminat sekian lama,” katanya.

Bandi turut mendedahkan bahawa dalam album pertama Amuk, Tanpa Prejudis, terdapat enam hingga tujuh lagu Cromok yang dirakam semula dalam versi Melayu. Justeru, persembahan kali ini dianggap sebagai sesuatu yang cukup istimewa.

Karl atau Anuar, pemain gitar Cromok, menyatakan bahawa konsert ini perlu dilakukan dengan penuh gah bagi memastikan pengalaman luar biasa buat peminat.

“Kami mahu pastikan ia satu persembahan yang tidak dapat dilupakan. Ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi sesuatu yang istimewa buat peminat tegar kedua-dua kumpulan,” katanya.

Selain itu, penonton bakal menyaksikan detik bersejarah apabila Bandi akan menyanyikan versi Melayu salah satu lagu Cromok, manakala vokalis Cromok, Sam, akan membawakan versi asal dalam bahasa Inggeris.

Harga Tiket dan Lokasi Strategik

Menurut penganjur, tiket untuk konsert ini telah mula dijual sejak 24 Januari lalu dan boleh didapati menerusi platform dalam talian n9arena.ubertickets.asia. Harga tiket adalah seperti berikut:

  • RM118 (Kategori 1 – Berdiri)
  • RM158 (Kategori 3 – Duduk)
  • RM218 (Kategori 2 – Duduk)
  • RM248 (VIP – Duduk)
  • RM388 (VVIP – Duduk)
  • RM488 (Golden Seat – Duduk)

N9 Arena, Nilai dipilih sebagai lokasi kerana kedudukannya yang strategik dan dekat dengan Kuala Lumpur, Melaka, serta Johor. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta yang luas dan surau untuk kemudahan penonton.

Dengan kombinasi muzik thrash metal Cromok dan rock + metal Amuk, konsert ini dijangka menjadi satu fenomena yang akan dikenang dalam sejarah muzik tanah air. Peminat diseru untuk mendapatkan tiket mereka sebelum kehabisan dan tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan yang bakal menggegarkan N9 Arena, Nilai!