December 5, 2023

KUALA LUMPUR – Persembahan Malam Amal Pengasih anjuran Pengasih di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 17 November 2019 mendapat sambutan hebat.

Dua penyanyi terkenal yang ditampilkan iaitu Datuk Jamal Abdillah dan penyanyi kumpulan Gersang iaitu Man Bai berjaya menarik kehadiran ramai peminat yang menonton.

Persembahan itu diadakan bertujuan mengumpul dana untuk menyiapkan fasiliti Rawatan dan Pemulihan Dadah Pengasih di Cinta Manis, Bentong, Pahang.

Zamani dan Ameng

Kini, pendekatan serupa turut diambil Pengasih apabila menganjurkan Konsert Kasih Pengasih 2023 yang akan berlangsung di Auditorium RTM Kuantan pada 1 Julai 2023, jam 8.30 malam hingga 11 malam.

Idea untuk mengadakan konsert ini dicetuskan oleh pihak pengurusan Pengasih yang ingin mempromosikan Pengasih Cawangan Pahang.

Konsert yang dikendalikan oleh Pengasih Asia Sdn Bhd ini menampilkan barisan artis hebat iaitu kumpulan Iklim, Ameng Spring, Zamani Slam dan Amir Ukays.

Zamani Slam mendendangkan lagu di majlis sidang media

Hafizi Harun, Pemangku Presiden Persatuan Pengasih Malaysia berkata, nama Kasih menjadi pilihan kerana Pengasih menggunakan pendekatan ‘Kasih’ kepada klien-klien mereka.

Perkataan kasih yang digunakan adalah bersesuaian dengan budaya dalam komuniti Pengasih yang mengamalkan konsep kasih sayang serta bertanggungjawab dalam membantu orang lain dan membantu diri.

“Objektif konsert ini diadakan adalah bertujuan mencari dana bagi membiayai peralatan dapur, landskap dan kelengkapan rehabs baharu Rumah Damai yang akan mula beroperasi dalam masa terdekat.

“Konsert ini juga dianggap sebagai ‘kick starter’ bagi perniagaan sosial Enterprise kami (Pengasih Asia Sdn Bhd) milik Persatuan Pengasih Malaysia.

“Konsert ini diadakan di Kuantan bagi mempromosikan Kompleks Pengasih Cinta Manis di Bentong, Pahang,” katanya.

Barisan artis yang bakal menjayakan konsert Kasih Pengasih

Auditorium RTM Kuantan, Pahang menjadi pilihan untuk mempromosikan Pengasih Cawangan Pahang yang akan melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan pencegahan khususnya untuk masyarakat Negeri Pahang.

Dalam masa sama, Pengasih mahu membantu rakan artis terutama Iklim yang kurang menerima undangan show selain mengekalkan hubungan akrab mereka dengan Zamani dan Ameng.

“Hubungan kami sememangnya rapat, jadi kami lebih suka mengamalkan konsep menang-menang kerjasama dengan mereka.

“Durasi konsert ini ialah dua jam setengah dan barisan artis terbabit akan menyampaikan rangkaian lagu-lagu popular mereka buat peminat,” katanya.

Penyanyi Iklim, Azmani

Konsert Kasih Pengasih 2023 turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, RTM Pahang, Pengasih Cawangan Pahang dan Restoran Baina Nasi Kerabu.

Harga tiket untuk menyaksikan Konsert Kasih Pengasih 2023 bermula dari RM58 sehingga RM3,500.

Tiket-tiket boleh didapati menerusi https://ilassotickets.com.