KUALA LUMPUR, 26 Januari 2025 – Konsert MegaHitz 3 Dekad Vol.1 yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur malam tadi berjaya menghidupkan semula nostalgia era muzik 80-an dan 90-an. Dewan konsert bagaikan bertukar menjadi pusat karaoke apabila setiap lagu yang didendangkan oleh barisan artis disambut dengan nyanyian padu oleh peminat.
Konsert anjuran Pentas 365 Events ini menampilkan gabungan penyanyi lagenda dan artis generasi baharu, antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Datuk Hattan, Man Bai, Ramlah Ram, Zur Eda, Noorshila Amin, Andy Flop Poppy serta penyanyi muda Amir Masdi.

Ramlah Ram kekal berbisa, suara ‘telan kaset’
Antara persembahan yang mencuri perhatian ialah Ramlah Ram, yang menyampaikan tiga lagu ikoniknya, Apa Khabarmu Di Sana, Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi, dan lagu malar segar Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu.

Meskipun sudah menjangkau usia 60 tahun, vokalnya tetap bertenaga dan lantang, seolah-olah tiada perubahan sejak zaman kegemilangannya. Ada penonton yang menyifatkan suara Ramlah Ram seperti ‘telan kaset’ kerana keasliannya masih sama seperti rakaman asal. Lebih menarik, beliau turut mengenakan kostum serupa yang dipakai sewaktu bertanding di Anugerah Juara Lagu 1988, mencetuskan suasana penuh nostalgia.
Kid Search dan Man Bai: Magis ‘Masih Aku Terasa’
Salah satu momen kemuncak konsert berlaku apabila Kid Search muncul mengiringi Man Bai menerusi lagu malar segar Masih Aku Terasa. Kid, yang dikenali sebagai King of Tremolo Malaysia, memukau peminat dengan petikan gitarnya yang penuh emosi, mengembalikan kenangan kegemilangan kumpulan Gersang di era rock 80-an.


Sebelum itu, Man Bai telah menghidang lagu ikoniknya menerusi Kau Ilhamku dan lagu ini pernah diberi nafas baharu oleh penyanyi popular dari serata negara termasuk Datuk Siti Nurhaliza. Lagu ciptaan Asmin Mudin itu masih segar dimainkan hingga saat ini.
Zur Eda dan Noorshila Amin terharu dengan sokongan peminat
Zur Eda, yang mendendangkan lagu Kelmarin dan Kau Pelitaku, meluahkan rasa sebak apabila diberi peluang untuk berkongsi pentas dengan rakan-rakan seperjuangan.
“Terima kasih kepada penganjur kerana menjemput saya dan rakan-rakan lain. Sokongan peminat selama 40 tahun dalam industri ini amat bermakna buat saya,” katanya penuh penghargaan.

Bagi Noorshila Amin, konsert ini menjadi detik istimewa kerana ia kali pertama beliau membuat persembahan di Zepp Kuala Lumpur. Dengan penuh semangat, beliau menyampaikan dua buah lagu, Aku Sudah Jatuh Cinta dan Kad Ucapanmu, yang disambut meriah oleh peminat setianya.
Legenda-legenda muzik tanah air kekal unggul
Legenda-legenda muzik tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, dan Datuk Hattan membuktikan kehebatan mereka masih utuh apabila setiap lagu mereka dinyanyikan penuh semangat oleh penonton.
Lagu-lagu klasik seperti Ku Di Halaman Rindu, Memburu Rindu, Gadis Melayu, dan Azura terus segar di hati peminat, dengan vokal ketiga-tiga bintang ini tetap mantap seperti di zaman kegemilangan mereka.

Kemunculan kumpulan Flop Poppy, yang mula menapak dalam industri muzik arus perdana pada awal 2000-an, turut mencuri perhatian. Vokalisnya, Andy, mengalunkan lagu Cinta serta Aku dan Kamu, membawa penonton kembali ke era rock alternatif yang pernah menguasai carta muzik tempatan.
Dalam kalangan penyanyi senior, Amir Masdi muncul sebagai wakil generasi baharu yang meneruskan legasi muzik mereka. Dengan persembahan bertenaga, Amir membawakan lagu Kau Sakiti dan Nurcinta, membuktikan dirinya sebagai penyanyi muda yang mampu menggalas cabaran industri muzik tanah air.

Tribute buat Jay Jay cipta momen penuh emosi
Sebanyak 22 buah lagu dipersembahkan sepanjang malam, termasuk medley istimewa “Cukup Sekali” dan “Rindu Bayangan” sebagai penghormatan kepada Allahyarham Jay Jay (Mohd Fauzi Darus). Nyanyian beramai-ramai ini mencipta momen penuh emosi, mengingatkan peminat kepada suara emas yang telah pergi.
Konsert ini turut dimeriahkan dengan sambutan ulang tahun pengarah muzik, Shah Slam, yang diraikan bersama oleh barisan artis serta penonton.


Joey Daud ceriakan suasana
Joey Daud, selaku pengacara, berjaya mencuit hati penonton dengan celoteh dan gelagat spontannya, yang menyuntik elemen hiburan tambahan sepanjang acara berlangsung.

Keseluruhannya, MegaHitz 3 Dekad Vol.1 bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu perjalanan nostalgia yang membawa peminat menyusuri semula zaman kegemilangan muzik tanah air. Dengan kejayaan ini, ramai yang pastinya menantikan MegaHitz 3 Dekad Vol.2 yang dijangka lebih besar dan lebih meriah!