January 13, 2025

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw berjaya menghiburkan peminat Malaysia di konsert ‘Ada Apa Dengan Melly’ di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 3 dan 4 Februari lalu dengan menyanyikan hampir 30 buah lagu.

Menariknya konsert yang bertemakan ‘Back To School’ berjaya menambat hampir 3,000 hati peminat yang hadir dengan berpakaian seragam sekolah demi mengembalikan nostalgia zaman remaja.

Aksi Melly Goeslaw di konsert ‘Ada Apa Dengan Melly’

Membuka tirai persembahan dengan lagu Ingin Mencintai Dan Dicintai, kemunculan penyanyi berusia 49 tahun ini mendapat sorakan penonton yang teruja melihat idola kesayangan berada di depan mata.

Tidak membuang masa begitu lama, Melly yang mendapat jolokan ‘The Queen of Soundtracks’ itu terus memukau peminat dengan himpunan lagu hits antaranya Tentang Dia, Pujaanku, Bimbang dan Suara Hati Seorang Kekasih.

Melly menghiburkan hampir 3,000 penonton

Seperti gaya seorang guru memberi bimbingan kepada anak muridnya, Melly berharap agar penonton menghargai karya seni yang akan beliau persembahkan dan supaya penonton kekal menonton sehingga akhir waktu.

“Malam ini saya akan memberi edukasi tentang muzik dan attitude bermuzik, mengikut pengalaman yang saya lalui yang berada di tempat pengkritik (juri), kadang juga saya sebagai penonton, penyanyi dan seorang komposer.

“Pelajaran yang pertama yang kalian dapat dari saya adalah suka atau tidak suka, kita harus mengapresiasi apa yang ada di panggung ini, jadi jangan pulang dulu kerana ini adalah attitude yang baik untuk penonton,” katanya diikuti derai tawa oleh penonton yang tidak sabar untuk menyaksikan persembahan beliau yang seterusnya.

Meneruskan persembahan menerusi lagu-lagu hit yang pernah menjadi runut bunyi filem popular seperti Pencinta Wanita, Berdua Lebih Baik, Ketika Cinta Bertasbih dan Ayat-Ayat Cinta.

Isteri kepada komposer terkenal, Anto Hoed ini berulang kali mengucapkan rasa terima kasih kepada penggemarnya yang berada di Malaysia serta sokongan yang ditunjukkan sejak zaman filem Ada Apa Dengan Cinta yang ditayangkan 21 tahun lalu.

Melly turut menjemput dua orang cucu Allahyarham Tan Sri P Ramlee

Rata-rata penonton menjadi sebak apabila Melly mendendangkan lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti nyanyian asal Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dengan versi tersendiri. Seterusnya penonton menari dan menyanyi bersama apabila Melly mendendangkan lagu P Ramlee berjudul Bunyi Gitar.

Bagi Melly, kerjayanya sebagai komposer dan pemuzik banyak dipengaruhi karya-karya P Ramlee. Malah, beliau berasakan ada persamaan antara dirinya dan P Ramlee. Mereka berkarya bukan untuk mengejar kemasyahuran anugerah sebaliknya berasa cukup jika dikenang selepas meninggalkan dunia fana ini.

Melly banyak dipengaruhi karya-karya P Ramlee

Selain menyanyikan lagu idolanya, Melly terus menghiburkan penonton di segmen kedua menerusi lagu Menghitung Hari, Jera, Cinta, Denting My Heart, Gantung, Im’ Sorry Goodbye, Cinta Sejati dan sebuah lagu yang pernah melonjakkan namanya di Malaysia berjudul Jika.

Sebagai seorang komposer, Melly tidak lokek memberi kata-kata puitis untuk dijadikan senikata sesebuah lagu. Rata-rata penonton begitu ‘sporting’ turut memberikan beberapa ayat untuk dijadikan lirik apabila diminta oleh Melly. Lirik tersebut dinyanyikan secara spontan oleh Melly sambil diringi petikan piano Anto Hoed.

Penonton yang hadir mengenakan busana sekolah

Melly meneruskan persembahan menerusi lagu Tentang Seseorang, AADC, Kubahagia, Salah, Tak Tahan Lagi, Bagaikan Langit, Let’s Dance dan Hanya Memuji. Persembahan yang mengambil masa selama 3 jam tidak terasa apatah lagi lagu-lagu yang disajikan Melly bisa dinyanyikan bersama.

Konsert itu juga dihadiri tetamu istimewa, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Antara selebriti yang turut memberi sokongan pada malam tersebut adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Amy Search, Datuk Rossa, Misha Omar, Raffi Ahmad, Fazura, Shila Amzah dan ramai lagi.

Antara tetamu istimewa, Raja Permaisuri Agong dan Tengku Permaisuri Selangor
Aksi Melly yang cukup bertenaga
Melly bersama suaminya Anto yang bertindak sebagai pengarah muzik
Melly menjemput kucing yang pernah tular di media sosial