Konsert ‘Memori Mungkin Berulang’: Tomok dan Siti Nordiana kembali gamit nostalgia peminat

KUALA LUMPUR – Konsert “Memori Mungkin Berulang” yang menampilkan gandingan penyanyi popular Tomok dan Siti Nordiana bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari 2025, jam 8 malam. Konsert ini dijangka menggamit nostalgia peminat dengan lagu-lagu hit mereka sepanjang lebih dua dekad dalam industri muzik tanah air.

Penganjur konsert ini, Tomok, menerusi syarikatnya Popsicle Records, menyatakan rasa teruja untuk berkolaborasi dengan Siti Nordiana, atau lebih dikenali sebagai Nana, buat julung kalinya di pentas besar. Menurut Tomok, mereka berdua telah memulakan karier nyanyian sejak di bangku sekolah pada era 90-an, dan konsert ini merupakan peluang terbaik untuk mengimbau memori bersama para peminat.

“Sepanjang konsert ini, pelbagai kejutan telah kami sediakan, termasuk persembahan lagu-lagu hits yang dinyanyikan secara duet. Ini adalah kali pertama kami berkolaborasi di pentas, atas permintaan penyokong dan peminat kami,” ujar Tomok. 

Beliau turut memaklumkan bahawa konsert ini akan mengimbau kenangan istimewa apabila beliau menyanyikan semula lagu-lagu duet Siti Nordiana bersama Allahyarham Achik, termasuk hits seperti Memori BerkasihResipi Berkasih, dan Gurauan Berkasih yang pasti dinantikan peminat.

Harga tiket juga dikatakan berpatutan, bermula dari RM98 hingga RM5000 untuk kotak VIP, bagi memberi peluang kepada peminat menyaksikan persembahan tersebut. 

“Kami akan pastikan peminat mendapat persembahan terbaik yang tidak akan mengecewakan,” tambah Tomok.

Sementara itu, Siti Nordiana menyambut baik undangan Tomok untuk menjadi rakan konsert dalam persembahan ini, yang disifatkannya sebagai penghargaan buat peminat yang setia menyokong mereka sejak awal 2000-an. 

“Lagu duet kami, Memori Mungkin Berulang, dipilih sebagai judul utama kerana ia sangat sinonim dengan perjalanan karier kami. Lagu duet saya bersama Tomok ini juga telah mencetuskan fenomena tersendiri dalam kalangan peminat generasi baharu,” katanya.

Tiket Konsert “Memori Mungkin Berulang” telah mula dijual pada 28 Oktober lalu melalui Ticket2u, dengan hampir 50% tiket telah terjual dalam tempoh singkat. Popsicle Records juga mengalu-alukan kerjasama serta tajaan daripada syarikat lain bagi menjayakan konsert ini.

Dengan konsert ini, diharapkan peminat-peminat Tomok dan Siti Nordiana dapat mengubat kerinduan terhadap lagu-lagu hit lama serta menikmati persembahan terkini mereka dalam sebuah persembahan istimewa yang penuh kenangan.