December 4, 2024

KUALA LUMPUR – Konsert Nurkasih Slam yang telah berlangsung pada 6 Ogos lalu telah membangkitkan semula nostalgia pengunjung dan peminat yang hadir di Zepp Kuala Lumpur. Manakan tidak, kebanyakan lagu-lagu Slam ini ada memori dan ceritanya tersendiri kepada sesiapa sahaja yang pernah merasai zaman kegemilangan kumpulan yang telah ditubuhkan di Johor Bahru ini.

Konsert Nurkasih Slam telah berjaya menarik lebih 2,000 penonton untuk bersama-sama menikmati persembahan hebat apatah lagi sudah pasti ramai yang menanti kemunculan vokalis Slam, Zamani, untuk mendengarkan secara langsung kelunakan suara emasnya itu.

Slam membuka tirai pentas menerusi lagu Kembali Merindu diikuti jeritan penonton apabila Zamani muncul di hadapan mereka. Zamani yang sebelum ini merasa bimbang mengenai tahap kesihatannya seperti hilang semuanya apabila penonton bersama-sama menyanyikan setiap lagu yang didendangkan. 

Zamani turut mengembalikan nostalgia peminat menerusi lagu hits Slam seperti Buat Seorang Kekasih, Suratan, Kurnia, Rindiani, Jika Kau Rasa Getarnya, dan Maria Mariana yang turut mengundang dua penonton wanita menyanyi bersama di atas pentas.

Konsert yang sepatutnya dibahagikan kepada dua segmen diteruskan tanpa rehat disebabkan Zamani tidak mahu mengganggu mood penonton dan peminat Slam.

“Sepatutnya kami berhenti berehat, tapi tak mahu ‘potong’ mood penonton, jadi kami teruskan sahaja persembahan,” ujar Zamani.

Bukan hanya bersandarkan pada lagu-lagu ‘syahdu’ dan balada semata, Slam turut menyampaikan beberapa lagu rancak iaitu Kembali Merindu, Manisnya Rindu, Entah Mengapa dan Nurkasih bagi menghangatkan lagi suasana konsert.

Penonton dan peminat Slam tertanya-tanya seketika apabila penyanyi Slam, Zamani dikatakan tidak sihat dan mereka terpaksa menghentikan persembahan. Ianya sekaligus mendatangkan keresahan di hati para peminat kumpulan itu.

“Maaf, kami tidak dapat meneruskan persembahan kerana Zamani kurang sihat,” kata pemain bassnya, Lili sebelum mereka yang ketika itu sudah menyampaikan 16 lagu untuk meninggalkan pentas.

Kenyataan Lili itu membuatkan penonton yang hadir terdiam seketika dan tertanya-tanya sesama sendiri mengenai pengumuman itu.

Namun itu hanya gimik yang dilakukan oleh Slam apabila Zamani kembali semula ke pentas beberapa minit kemudian dan menyampaikan dua lagu ‘encore’ yang menutup konsert berkenaan.

“Minta maaf andai kata stamina dan suara kami tidak lagi sama seperti dulu, bukan saja faktor kesihatan, malah usia juga turut memainkan peranan. Umur pun semakin ‘muda’,” usik Zamani.

Antara lagu yang dipersembahkan dalam konsert tersebut adalah Buat Seorang Kekasih, Suratan, Kurnia, Tak Mungkin Berpaling, Gerimis Mengundang, Kita Terpaksa Bermusuhan dan banyak lagi.

Konsert yang dibawakan oleh AV Group & WMD Event ini dianggap yang terbaik apabila Muhd. Dzakirin yang bertindak selaku penerbit konsert meneliti dari setiap sudut persembahan, sistem audio, penataan cahaya dan pementasan yang menjadikan konsert tersebut penuh bermakna serta mencipta naratif kepada pengunjung yang hadir.

Slam turut menyampaikan lagu Mentari Muncul Lagi dan Kembali Terjalin yang menjadi lagu ‘wajib’ sebelum  menutup tirai konsert yang berjaya menghidupkan momen indah bersama peminat setia Slam.

Selain Zamani selaku vokalis, Shah (gitaris), Eddie (keyboard), Lili (bes) dan Man (dram) yang menerajui Slam. Konsert Slam NurKasih turut mendapat sentuhan Paang Zaman yang bertindak sebagai perkusi bagi menambahkan ‘warna’ konsert yang berdurasi 2 jam itu.

Pada Februari tahun lalu, Slam muncul dengan Konsert Mentari Muncul Lagi di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).  Kemudiannya mereka merayakan “Slam 30th Anniversary Concert” yang berlangsung di The Star Theatre, Singapura pada 10 Jun lalu.