Gabungan Genre Muzik Popular, Satu Pentas Satu Malam
KUALA LUMPUR, 11 Jun 2025 – Peminat muzik tempatan bakal disajikan dengan sebuah konsert mega penuh warna-warni hujung tahun ini menerusi Konsert Hype Republic, yang dijadual berlangsung pada 13 Disember 2025 (Sabtu), jam 8.30 malam bertempat di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Konsert anjuran DM Diamond Sdn. Bhd. ini bukan sahaja menandakan penganjuran sulung syarikat tersebut, malah dijangka menjadi antara acara hiburan paling dinanti-nantikan tahun ini. Dengan konsep unik yang menghimpunkan pelbagai genre muzik dalam satu malam, Hype Republic tampil sebagai platform hiburan inklusif untuk pencinta muzik dari pelbagai latar.

Menggabungkan genre seperti EDM, hip-hop, pop, K-Pop, J-Pop, Alt-Indie dan banyak lagi, konsert ini digambarkan sebagai sebuah “one-stop center” untuk para peminat meneroka pelbagai rasa muzik secara langsung. Pendekatan ini sekaligus menjadikan Hype Republic sebagai konsert yang meraikan kepelbagaian dan perkembangan muzik kontemporari masa kini.
Barisan artis yang bakal menghangatkan pentas termasuk nama-nama besar dan kegemaran generasi baharu seperti Kmy Kmo & Luca Sickta, Luqman Podolski, Yonnyboii, Zynakal, Bunga, Zubir Khan, K.O.I, serta seorang lagi artis yang masih dirahsiakan identitinya, menjanjikan kejutan istimewa buat penonton.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DM Diamond Sdn. Bhd., Isa A. Rani, pihaknya teruja dengan kerjasama yang terjalin bersama barisan artis pilihan untuk menjayakan Hype Republic.
“Kami amat berbesar hati dapat berganding bahu dengan nama-nama besar industri muzik. Setiap artis yang dipilih memiliki pencapaian tersendiri dan cukup dikenali oleh khalayak muda. Kami percaya gabungan mereka mampu mencetuskan impak luar biasa,” ujar Isa dalam sidang media yang diadakan di Hotel St. Giles Boulevard baru-baru ini.
Tambahnya lagi, pelbagai kejutan dan hadiah menarik juga bakal menanti pembeli tiket. Istimewanya, peminat akan menerima potongan harga sebanyak 20 peratus bagi pembelian tiket bermula 14 Jun 2025, sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan.

DM Diamond Sdn. Bhd., meskipun masih baharu dalam industri, diterajui oleh pasukan berpengalaman luas dalam penganjuran acara berskala besar. Hype Republic dilihat sebagai langkah pertama syarikat itu untuk mencipta gelombang baharu dalam landskap hiburan tempatan, dengan matlamat menjadikan konsert ini sebagai penanda aras baharu dalam kualiti persembahan dan pengalaman penonton.
Untuk maklumat lanjut mengenai tiket dan barisan artis lengkap, peminat disarankan mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi Hype Republic dan DM Diamond.