KUALA LUMPUR – Peminat muzik emo tempatan bakal disajikan dengan satu persembahan luar biasa apabila band terkenal dari Bandung, Indonesia, for Revenge, tampil dalam konsert “Perayaan Patah Hati” Babak 1. Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 6 Disember 2024 bertempat di Zepp Kuala Lumpur, jam 8 malam.
Acara ini turut menampilkan kumpulan tempatan yang semakin mencuri perhatian, Insomniacks, sebagai artis jemputan istimewa, menjanjikan malam yang penuh dengan emosi dan hiburan berkualiti.
For Revenge telah membina nama sebagai salah satu kumpulan emo paling berpengaruh dalam persada muzik bebas Indonesia sejak ditubuhkan pada tahun 2006. Dianggotai oleh vokalis Boniex Noer, gitaris Arief Ismail, pemain bass Izha Muhammad, dan pemain dram Ari Pribadi, kumpulan ini dikenali dengan muzik mereka yang penuh emosi dan lirik yang menyentuh hati.
Sepanjang perjalanan karier mereka, for Revenge telah menghasilkan beberapa album yang berjaya seperti Fireworks (2010), Second Chance (2013), dan Auristella (2019). Pada tahun 2022, album mereka, Heartbreak Celebration – Round 1, melonjakkan populariti kumpulan ini ke peringkat lebih tinggi, termasuk pencalonan dalam Anugerah Musik Indonesia (AMI) untuk kategori Duo/Kumpulan/Kolaborasi Pop Terbaik.
Terbaru, mereka mengeluarkan single “Sadrah,” yang menjadi pembuka tirai kepada album baharu mereka, Perayaan Patah Hati – Babak 2.
Tiket untuk konsert ini dijual pada harga bermula RM168.00 hingga RM438.00, dengan pelbagai pakej istimewa termasuk VIP Box dan sesi Meet & Greet. Harga tiket termasuk 10% duti hiburan tetapi tidak termasuk caj proses RM4.
Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh didapati menerusi laman sosial @miebirdprojects di Instagram, TikTok, Facebook, dan X. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan malam epik yang bakal mencipta memori tak terlupakan ini!