March 21, 2025

Kuala Lumpur bakal dimeriahkan dengan sebuah persembahan spektakular pada malam tahun baru ini, apabila TGJ Entertainment buat julung kalinya mempersembahkan “Konsert Rentas Masa – Satu Evolusi Muzik.” Bertempat di Zepp, Kuala Lumpur, konsert ini akan berlangsung pada 31 Disember 2024, jam 9.00 malam. Dengan tema “Satu Evolusi Muzik,” konsert ini akan membawa penonton merasai perjalanan muzik dari era ke era, dari zaman irama 60-an hingga era milenium moden.

Artis Lagenda dan Ikon Generasi Baharu Bergabung

Konsert ini menampilkan barisan artis ternama yang melambangkan era kegemilangan masing-masing, seperti Datuk Jefry Din (60-an), Datuk DJ Dave (70-an), Dato’ Awie (80-an), Ziana Zain (90-an), serta penyanyi muda popular Ara Johari, yang menjadi wakil generasi terkini. Pemilihan artis berdasarkan dekad kegemilangan mereka menjadikan konsert ini satu pengalaman unik dan berharga buat semua penonton. 

Pengarah konsert, Mr. Ovie dari MM Entertainment, berkata, “Konsert ini adalah ruang untuk keluarga menikmati hiburan bersama, membawa kenangan lalu dan memperkenalkan muzik klasik kepada generasi baharu.”

Mesej Perpaduan Dalam Muzik

Mengulas tentang penganjuran konsert ini, Datuk DJ Dave berkata, “Negara kita memerlukan perpaduan, dan pada malam Konsert Rentas Masa, saya akan menyampaikan lagu yang sarat dengan mesej perpaduan.” Beliau berharap konsert ini akan menjadi simbol keharmonian, menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dengan keunikan muzik dari setiap era.

Sokongan Kukuh dari Artis Generasi Baharu

Bagi Ara Johari, pengalaman berkongsi pentas bersama nama-nama besar ini dianggap sebagai peluang emas dalam kerjayanya. “Konsert ini cukup unik, menggabungkan pelbagai dekad dalam satu malam. Walaupun terdapat banyak konsert percuma pada malam tersebut, saya yakin dengan kehadiran peminat setia yang sentiasa menyokong artis kegemaran mereka,” kata Ara, penuh semangat.

Pengalaman Eksklusif dan Tawaran Istimewa untuk Peminat

Tiket konsert dijual bermula dari RM237 hingga RM8,888, dengan lima kategori tempat duduk iaitu VIP Grand Seating, Free Standing, VIP Premium Seating, VIP Seating, dan VVIP Box. Bagi peminat yang mendapatkan tiket awal (Early Bird) bermula 11 November 2024 di laman web ilassotickets.com, pelbagai hadiah eksklusif menanti, seperti Diari Konsert Edisi Terhad, poster kalender, dan wristband edisi khas “Konsert Rentas Masa.”

Sebagai penaja rasmi sajian, Padi House turut menyediakan potongan harga 15% untuk pemegang tiket konsert pada 31 Disember hingga 1 Januari, serta melanjutkan waktu operasi mereka sehingga pukul 2 pagi bagi meraikan kedatangan tahun baru.

Malam Tahun Baru Penuh Magis Menanti Anda!

Konsert Rentas Masa menjanjikan malam tahun baru yang penuh warna dan kehangatan bersama barisan artis ternama negara. TGJ Entertainment mengalu-alukan kehadiran seisi keluarga, dengan menjanjikan hiburan terbaik berteraskan tema “Satu Evolusi Muzik” yang pasti menggegarkan. Ikuti media sosial rasmi TGJ Entertainment untuk kejutan dan pengumuman menarik yang bakal diumumkan sebelum tarikh konsert.

Pastikan anda menjadi sebahagian daripada sejarah “Konsert Rentas Masa – Satu Evolusi Muzik” yang pasti akan dikenang ramai sebagai sambutan tahun baru paling epik di Kuala Lumpur!