September 10, 2024

Kumpulan rock popular yang pernah mewarnai industri muzik sekitar tahun 80an dan 90an, Sofea dan SYJ telah mengadakan sebuah konsert yang diberi nama ‘Revolusi Sofea Legacy vs SYJ Pewaris’ yang telah melakar catatan sejarah nuansa ‘rock’ apabila keduanya beraksi di Warisan Hall Studio Sijangkang, Telok Panglima Garang, Selangor 13 Julai yang lalu. Seluruh peminat-peminat SYJ atau Sofea merasa teruja dan terpesona manakala peminat muzik rock Malaysia secara amnya juga sudah pasti telah disajikan oleh sebuah persembahan yang akan dikenang sampai bila-bila.

Apa yang menarik tentang konsert ‘Revolusi Sofea Legacy vs SYJ Pewaris’ ini adalah kerana ianya merupakan sebuah “gandingan” yang tidak pernah dilihat atau dialami oleh peminat kedua-dua kumpulan tersebut sebelum ini kerana ramai peminat muzik rock tanahair sebelum ini menyangka bahawa kedua-dua kumpulan tersebut adalah kumpulan yang sama.

Selama beberapa dekad, para peminat menghormati kedua-dua band SYJ dan Sofea sebagai simbol kehebatan rock Malaysia. Namun, di tengah-tengah kehangatan itu terdapat sebuah mistik – sebuah kisah tentang takdir yang saling berkaitan dan evolusi muzik. Walaupun ramai yang percaya kedua-dua kumpulan itu adalah satu dan sama, kebenaran ekoran daripada pengumuman konsert itu mendedahkan naratif yang menarik. Selama ini ramai menyangka bahawa Sofea muncul sebagai kesinambungan, lembaran baharu SYJ yang diadun oleh bekas anggota SYJ yang mengekalkan bunyi dan semangat SYJ yang turut juga menarik perhatian peminat muzik rock Malaysia selama beberapa generasi.

Ketika Sofea menjadi tumpuan ramai, kehadiran SYJ seakan-akan pudar, membuatkan peminat membuat spekulasi dan maka dengan itu, mitos pun berkembang. Adakah mereka benar-benar entiti yang berasingan, atau adakah Sofea membawa legasi SYJ? Perdebatan para peminat tegar mereka mengenai pekara itu sering timbul, didorong pula oleh penampilan dan muzik Sofea yang mirip sekali dengan penampilan dan muzik SYJ, mengaburkan garis antara masa lalu dan sekarang, realiti dan legenda.

Kebenaran mengenai kewujudan kedua-dua kumpulan bagaimanapun sudah didedahkan ekoran daripada pengumuman konsert yang dijayakan oleh kedua-dua kumpulan itu, menidakkan khabar angin dan mengesahkan identiti tersendiri mereka sambil meraikan warisan bersama mereka. Bagi penyokong setia SYJ, ia adalah sebuah acara yang telah lama ditunggu-tunggu oleh mereka kerana SYJ kali ini akan beraksi sebagai sebuah kumpulan yang sejak sekian lama wujud berjuang di dalam pesada muzik rock tanahair sehingga ke hari ini manakala bagi peminat Sofea pula, ini adalah peluang untuk menyaksikan kebenaran sebuah mitos di samping menyaksikan idola rock mereka secara sah beraksi sebagai sebuah entiti yang berbeza, dan bukannya sebuah kumpulan yang pernah dikenali sebagai SYJ.

Kedua-dua kumpulan yang menerajui konsert ini bagaimanapun tampil di bawah nama “Sofea Legacy” dan “SYJ Pewaris”. Ini adalah kerana sementara kedua-dua kumpulan itu masih lagi wujud, kedua-dua kumpulan itu juga dibarisi ahli-ahli yang samaada baharu atau yang sudah lama bermain dalam sebuah kumpulan yang telah mendapat kebenaran daripada ahli asal kumpulan tersebut untuk menjadi pewaris kepada kumpulan tersebut.

Menurut Alang yang bermain dengan SYJ Pewaris, peminat-peminat SYJ dan Sofea haruslah tahu sekarang bahawa kedua-dua kumpulan tersebut adalah dua kumpulan berbeza kerana tuan punya kedua-dua kumpulan tersebut adalah individu-individu yang berbeza.

“Yang tak tahu, tak faham fakta dan sejarah sahaja yang akan jadikan isu brand SYJ dan Sofea adalah brand yang sama sedangkan SYJ adalah (singkatan) dari nama Syed Yusof Jamalullail manakala Sofea adalah brand hakmilik Man Rani dan Amir selepas mereka tinggalkan SYJ pada tahun 1987, selepas (keluarnya kompilasi) Battle of the Bands 1986 (BOTB86), selepas menyertai produksi Box Office kendalian Ali Bakar dan selepas bernaung di bawah Warnada Records untuk mengeluarkan album pertama Sofea yang berjudul Kembali.

“Cumanya Sofea (pada awalnya) masih menggunakan logo SYJ berbayang dibelakang logo Sofea sebagai maksud yang mereka adalah bekas dari brand SYJ. Perkara itu tidak dijadikan isu memandangkan mereka adalah line-up yang beraksi sewaktu BOTB86 dibawah brand nama SYJ,” kata Alang.

Alang yang menyertai SYJ pada tahun 1990 adalah dikatakan pewaris sah kepada SYJ yang diamanahkan oleh Allahyarham Syed Yusof Jamalullail, individu yang bertanggungjawab menubuhkan kumpulan tersebut.

Sementara itu, Fancy yang merupakan anggota Sofea Legacy juga turut mengatakan bahawa konsert ini adalah sebuah usaha untuk menjenamakan semula kedua-dua brand SYJ dan Sofea, dan juga bagi tujuan meneruskan perjuangan anggota asal yang sudah bersara dan juga untuk menjelaskan pada peminat seluruhnya bahawa SYJ dan Sofea adalah dua band yang berasingan.

Konsert Revolusi Sofea Legacy vs SYJ Pewaris yang dihadiri 300 penonton manakala hampir 100 orang peminat yang tidak dapat masuk ke dewan konsert ekoran ruang yang terhad memaksa pihak pengganjur menyediakan skrin di luar dewan untuk memastikan peminat kedua-dua kumpulan tersebut dapat menyaksikan persembahan yang menyatukan peminat lama dan baharu, serta mengukuhkan legasi dua gergasi rock Malaysia iaitu SYJ dan Sofea.

Sementara itu, Mentari Merah Entertainment selaku penganjur konsert berhasrat untuk membuat siri jelajah ke lokasi-lokasi lain sekiranya mendapat permintaan.

“InsyaAllah, sambutan yang diterima buat masa ini amat menggalakkan dan jika ada permintaan peminat di negeri lain, kami akan fikirkan dan mungkin merialisasikan permintaan peminat di tempat lain”, ujar Mohamead Noor Mustapa.

“Bukan hanya 2 band ini, tetapi band-band lain yang seangkatan dekad 80an dan 90an, jadi besarlah harapan saya agar ianya dapat dirialisasikan disamping dapat berkongsi minat yang sama dengan para penggemar muzik rock”, katanya.

Selain berhibur, pihak penganjur turut menghulurkan sumbangan kepada wartawan hiburan Ridzuan Abdul Rahman akibat masaalah kesihatan.

“Meskipun sumbangan ini tidak seberapa, kami berharap ianya sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang di hadapi. Sumbangan ini adalah sebagai menghargai penulisannya yang banyak mengangkat kembali band-band rock tempatan”, tambahnya.

Terdahulu, turut diadakan pertandingan pakaian rock terbaik buat penonton yang hadir ke konsert tersebut. Pemilihan pakaian dipilih berdasarkan tema rock 80an dan para pemenang dipilih oleh juri terkenal yang diwakili oleh Amir Sofea dan Hatta Junction.

Menurut penganjur, konsert Revolusi Sofea Legacy vs SYJ Pewaris ini adalah hasil kerjasama Warisan Hall Studio dan Mentari Merah Entertainment. Dalam pada itu SYJ menyampaikan 9 buah lagu antaranya Hati Syaitan, Ini Nasib Kita, Kembalilah, Mata Sepet dan Waspada. Manakala Sofea juga membawakan sebanyak 9 buah lagu antaranya Bunga Padang Pasir, Syurga Hujung Jarum, Anak Liar serta Orang Timur yang dinyanyikan secara duet bersama SYJ.

Selain daripadai SYJ Pewaris dan Sofea Legacy, kumpulan Bloodbrothers juga telah membuat penampilan pada konsert Revolusi Sofea Legacy vs SYJ Pewaris tersebut. Apa yang boleh dirumuskan tentang konsert ini adalah kedua-dua kumpulan ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan apabila mereka bergabung ternyata ianya adalah sesuatu yang luar biasa dan konsert ini telah membuktikan bahawa ‘rock tidak pernah mati’.