December 6, 2024

KUALA LUMPUR: Ketika irama muzik nasyid mula menguasai industri muzik tanah air pada penghujung era 90-an, Saujana turut muncul dan memberikan impak mereka yang tersendiri terhadap lagu-lagu ketuhanan atau religi yang mereka bawakan.

Sama ada irama nasyid yang mempunyai elemen pop, R&B mahu pun tradisional, lagu-lagu mereka seperti Keluarga Bahagia, Suci Sekeping Hati, Sepohon Kayu, Sendiri, Usia Antara Masa, Bulan Bintang, Rahmat Kasihmu serta Lakaran Minda turut mendapat tempat di hati peminat muzik arus perdana.

Sempena meraikan ulang tahun ke-25 penglibatan mereka di dalam industri muzik tanah air, Saujana bakal menjayakan konsert sulung mereka pertama mereka yang digelar Konsert Saujana 25 Tahun yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 5 Mac ini, jam 8.30 malam.

Saujana menggabungkan semua anggota asalnya

Dibawakan Scriptology Sc Bhd serta Mac Training Centre Sdn Bhd selaku produksi rasmi, konsert yang menggunakan Dana Kandungan Digital (DD) Industri Muzik ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada My Creative Ventures serta Kementerian Komunikasi Digital.

Idea mewujudkan konsert ini telah dicetuskan beberapa anggota Saujana iaitu Mohammad Suffian Amrin, Azalinor Abdul Rahman, Ahmad Zuhaidi Abd Aziz serta Puan Samirah Hambali yang mewakili Mac Training Centre. 

Zuhaidi, Azalinor dan Suffian telah mengambil inisiatif untuk menggabungkan semula kesemua anggota Saujana yang lain iaitu Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz, Dr Khairul Idzwan (Idzu) Baharin, Mohd Hakimi Harun, Dr Faizul Hizal Ghazali, Wan Najran Wan Noh di dalam konsert ini. 

Bahkan, Saujana sendiri yang menganjurkan konsert ini sendiri di bawah syarikat Sciptology Sdn Bhd milik Zuhaidi dan Azalinor.  

Apa yang menarik, Konsert Saujana 25 Tahun ini akan menampilkan konsep persembahan yang unik menerusi gabungan lagu ketuhanan dengan irama tradisional, hasil kolaborasi Saujana dengan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) pimpinan Yazid Zakaria. 

Selain itu, ia turut menampilkan beberapa artis undangan seperti Ustaz Nazrey Johani, kumpulan Awla (gabungan Saujana dan NowSeeheart), Andika serta Ustaz Nabil. 

Saujana bersama barisan artis yang akan menjayakan konsert tersebut

Selaku pengarah projek Konsert Saujana 25 Tahun, Zuhaidi berkata, idea untuk menggabungkan semula Saujana dalam sebuah persembahan telah pun tercetus sejak lima tahun lalu. 

“Apabila melihat ramai kawan-kawan dalam arena muzik nasyid membuat konsert melalui dana DKD, kami juga rasa terpanggil untuk buat. 

“Lebih-lebih lagi Saujana tidak pernah buat konsert. Sedangkan kumpulan nasyid lain ada yang sudah buat lebih dari sekali konsert. Alhamdulillah, inilah masanya untuk kami gabungkan semula ahli-ahli lama untuk menghargai 25 tahun penglibatan Saujana. 

Menurut Zuhaidi lagi, mereka bersyukur kerana mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada Puan Samirah Hambali yang telah punya pengalaman luas menerbitkan konsert dan acara besar. 

“Atas perbincangan bersama, kami cuba cetuskan sebuah konsep yang sedikit berbeza iaitu menggabungkan lagu-lagu ketuhanan Saujana dengan irama tradisional. Ia sesuatu yang segar dan unik sebab ia bukan sahaja boleh menarik minat penggemar muzik nasyid sahaja tetapi juga penggemat muzik Melayu. 

“Berpeluang bekerjasama dengan OTM pimpinan Encik Yazid Zakaria adalah satu penghormatan yang besar. Malah, kita juga turut berbesar hati apabila apabila dapat mengundang Ustaz Nazrey untuk terlibat di dalam konsert ini bersama artis-artis undangan lain,” katanya yang turut dibantu Suffian sebagai Pengarah Kreatif dan Azalinor sebagai Pengarah Audio/Teknikal. 

Ustaz Nazrey Johani turut diundang bagi menjayakan konsert Saujana 25 tahun

Berbanding beberapa kumpulan nasyid lain yang turut membina nama mereka pada era tersebut, kesemua anggota Saujana adalah rakan dari sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang. 

Bahkan, mereka juga berasal dari kumpulan nasyid di sekolah mereka iaitu All For Ummah sebelum dikenali sebagai Saujana dan kemudian berpeluang menjadi artis rakaman dan bernaung di bawah syarikat rakaman gergasi BMG Music Malaysia ketika itu. 

Sebagai artis rakaman, Saujana telah melalui perjalanan kerjaya muzik yang agak panjang apabila berjaya menghasilkan tujuh album studio. 

Album-album studio yang dihasilkan mereka itu adalah Saujana (1997), Saujana II (1999) Kembara Cinta (2000), Rahsia (2002), Lima Bintang (2004), Jalan Sehala (2005), Nota Cinta (2010) dan Aku Cinta Allah (2013). 

Namun, selepas 10 tahun bersama saat menubuhkan Saujana pada pada tanggal 16 April 1997, empat anggota mereka iaitu, Dr Khairul Idzwan (Idzu) Baharin, Mohd Hakimi Harun, Dr Faizul Hizal Ghazali dan Wan Najran Wan Noh terpaksa meninggalkan kumpulan ini atas tuntutan kerjaya profesional mereka. 

Beberapa lagi anggota iaitu Mohammad Suffian Amrin, Azalinor Abdul Rahman, Ahmad Zuhaidi Abd Aziz telah meneruskan perjuangan Saujana serta turut menubuhkan sebuah lagi kumpulan iaitu Awla yang merupakan gabungan anggota kumpulan Saujana dengan NowSeeheart. 

Kini, mereka bergabung semula demi menjayakan Konsert Saujana 25 Tahun, satu peluang yang tidak seharusnya dilepaskan peminat mereka. 

Saujana tidak sabar untuk menghiburkan peminat mereka Mac ini

Konsert Saujana 25 tahun ini juga turut dibantu rakan rasmi seperti Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, Istana Budaya, Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), AnNadi serta Zepp Kuala Lumpur. 

Tiket sudah pun dijual pada harga RM265 (Upper Deck – Platinum dan Ground Platinum), RM213 (Upper Deck – Gold dan Ground Gold), RM161 (Upper Deck – Silver dan Ground Silver) serta RM109 (Ground Bronze). Tiket boleh dibeli di www.ticket2u.com.my.

Saujana bersama pihak penganjur dan penaja sewaktu sidang media