
KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan konsert Sweet Charity di Johor Bahru dan Singapura, sekali lagi kumpulan yang berasal dari Kota Singa ini telah muncul dengan persembahan berskala mega bagi mengubat kerinduan peminatnya. konsert yang diberi judul ‘Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity’ telah berlangsung pada 26 Januari lalu di Zepp Kuala Lumpur selama 2 jam dengan dihadiri kira-kira 2,000 penonton bagi menyaksikan kumpulan lagenda ini beraksi di sini.
Sebanyak 22 buah lagu yang diberikan nafas baharu untuk tatapan seluruh peminat yang hadir, Seolah-olah mereka telah kembali ke masa lampau di zaman kegemilangan Sweet Charity dimana setiap persembahan mereka mendapat tepukan gemuruh oleh peminat yang hadir.

Tepat jam 8.30 malam, muncul barisan utama Sweet Charity yang terdiri daripada vokalis utama Datuk Ramli Sarip, Rosli Mohalim (gitar), Ahmad Jaafar (kibod/vokalis kedua)dan Rahman Sarbani (dram). Konsert pada malam itu turut diperkukuhkan lagi dengan kontribusi Roza Rasul (kibod), Din (bass), Riduan Zalani (perkusi) dan Addy Craddle (gitar) yang menjadikan keseluruhan persembahan lengkap dengan tenaga yang penuh energetik disusuli dengan lagu pembuka tirai Hilang Gelap Terbitlah Terang dan juga sebagai penghormatan buat Gaza yang sedang dilanda peperangan.
Penonton mula berasa antusias dan bersemangat bila mana Ramli Sarip mendendangkan lagu Tahun 2000 dan Pelarian. Petikan gitar Rosli Mohalim membuat penonton terpukau dan merasa diri mereka di zaman kebangkitan irama rock di awal tahun 80an. Walaupun mereka ini sudah berusia tetapi kehadiran mereka di pentas Zepp KL ini membuktikan semangat dan keupayaan mereka dalam menghiburkan peminat tidak pernah luntur.


Ramli Sarip juga mengimbau memori sewaktu Sweet Charity mula dikenali di Singapura dan sewaktu itu mereka merentasi Tambak Johor tanpa menggunakan pasport sebelum terjadinya perpisahan negara. Ramli dan Sweet Charity juga banyak menyimpan kenangan di Malaysia dan disebabkan itu juga timbul idea untuk menggunakan judul konsert Semalam Di Malaya. Beliau juga menganggap persembahan Sweet Charity di Kuala Lumpur ibarat sirih pulang ke gagang.
“zaman kami di Singapura, merentasi Johor menaiki bas, tanpa perlu pasport sebelum ada pemisahan negara. Banyak kenangan di situ,” katanya.


Seterusnya Sweet Charity membawa penonton ke dimensi masa silam dengan mengalunkan lagu-lagu nostalgianya seperti Sejuta Wajah, Kamelia, Teratai serta Datang Dan Pergi. Walaupun lagu-lagu ini pernah dimainkan di konsert-konsert mereka sebelum ini, ia telah membuktikan lagu-lagu Sweet Charity tidak akan pernah pudar ditelan zaman. Begitu juga dengan lagu hit mereka yang masih lagi menjadi siulan peminat seperti Terharu, Zakiah, Jangan Tunggu Lama-lama, Lahirmu Bukan Untuk Dunia, Batu dan Ribut 10:59 Pagi.
Lagu yang menjadi tema konsert Sweet Charity berjudul Semalam Di Malaya di dendangkan dengan penuh rasa dan jiwa seakan Ramli Sarip berkongsi cerita kenangannya yang penuh suka dan duka dalam mengharungi perjalanan sebagai anak seni. Beliau juga sempat menitipkan pesanan untuk generasi muda supaya tidak melupakan lagu-lagu Melayu apabila berada di zaman tanpa sepadan ini seusai beliau menyanyikan lagu Apa Khabar Sayang.
“Anak-anak muda yang hadir ramai, walaupun meminati K-Pop dan J Pop, jangan lupa lagu irama Melayu kerana itu akar asal usul kita,” pesannya.


Meskipun usia Ramli menjangkau 72 tahun, namun beliau tidak banyak berbicara dan fokusnya lebih terarah menghiburkan peminat Sweet Charity. Biarpun pada usia lanjut, stamina Ramli cukup mengagumkan apabila masih mampu menyanyikan lebih 20 lagu tanpa sedikit pun ‘terkucil’. Inilah kehebatan penyanyi lagenda yang seakan tiada noktah demi menghiburkan peminat-peminat Ramli Sarip dan juga Sweet Charity.
Terdahulu, Sweet Charity yang pernah dilabel sebagai Deep Purple dan Santana Singapura telah mengadakan konsert berskala besar yang dihadiri oleh ribuan peminat antaranya di Stadium Merdeka pada 2011, di Stadium Larkin, Johor Bahru pada 29 Julai dan seterusnya di The Star Theatre, Singapura pada 14 Oktober tahun lalu.
