KUALA LUMPUR – Konsert Reunion ST12/20 Tahun Charly Berkarya yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil semalam, berjaya memukau lebih 8,000 penonton yang menjadi peminat tegar muzik serta karya mereka sejak dua abad lalu.
Bekas vokalis kumpulan itu, Charly Van Houten, peluang beraksi semula di pentas gah selepas lebih sedekad membawa haluan sendiri dan ternyata Charly begitu bertenaga sewaktu mengadakan persembahan. Malah penonton begitu teruja dan turut menyanyi bersama Charly.
Walaupun Charly tidak lagi bersama ST12, namun perjuangan diteruskan oleh Ilham Febry atau Pepeng (dram) dan Indra (bass), setiap satu dendangan bagai mengimbau suka duka mereka menerjah pengembaraan dalam mengukuhkan jenama ST12.
Seluruh dewan Axiata Arena bingit dengan jeritan peminat apabila mereka muncul dan memulakan persembahan menerusi lagu Rasa Yang Tertinggal, Jangan Mau Mau, Aku Terjatuh dan sebuah lagu hit, Putri Iklan.
Seterusnya peminat dihidangkan dengan lagu-lagu seleksi malar segar menerusi Stasiun Cinta, Asmara, Terlalu, Istana Bintang, Sungguh Terlalu Indah dan Tujuh Tahun.
Lebih istimewa, akui penyanyi yang kini bersama Setia Band, selepas dua dekad berkarya kali ini mereka berpeluang tampil di Malaysia menerusi reunion bersejarah itu.
Dewan menjadi gamat apabila rakan seperjuangan Firman Siagian muncul menerusi lagu Kehilangan. Penonton yang hadir tidak melepaskan peluang menyanyikan lagu yang pernah meledak di seluruh Malaysia suatu ketika dahulu. Di segmen ini Charly mendendangkan lagu-lagu ciptaannya yang dinyanyikan oleh artis lain antaranya Chit Chat, lady Sky, dan Jangan Ada Kata berpisah.
Malah Charly turut memberi peluang kepada anaknya, Restu Van Houten untuk muncul di pentas yang sama. Selain mendendangakn lagu secara solo, Restu turut berduet dengan bapanya menerusi lagu Biarkan Jatuh Cinta, antara lagu popular ST12 dan duet bersama Jaclyn Victor menerusi lagu Aku Padamu.
Sepanjang lebih dua jam beraksi dan berkongsi pengalaman lampau, ST12 tidak ketinggalan mendedikasikan rasa terima kasih terhadap peminat Malaysia.
“Malam ini akhirnya terjadi bukan kerana kita hebat, tetapi disebabkan kalian yang cukup bahagia.
“Sudah 20 tahun berkarya dan baru sekarang dapat hibur ‘fans’ di sini. Terima kasih Malaysia,” kata Charly turut merancang mengadakan konsert serumpun di Indonesia pula.
Memanaskan panggung dengan lagu-lagu ketika bersama ST12, Charly mempersembahkan lagu-lagu hit antaranya Aku Masih Sayang, Cari Pacar Lagi, Saat Kau Jauh, Aku Tak Sanggup Lagi, Cinta Tak Harus Memiliki, KebesaranMu, PUSPA, Jangan Pernah Berubah, Kepingan Hati, Putih Putih Melati dan Saat Terakhir.
Jelas Charly, sepanjang berkarya, dia sering menjadikan muzik ciptaan dan lagu dendangan penyanyi Malaysia sebagai rujukan.
Ini terbukti apabila Charly mendendang lagu-lagu ciptaan komposer Malaysia menerusi lagu Gerimis Mengundang (Slam), Bukan Ku Tak Sudi (Iklim) dan beberapa lagu yang disampaikan secara madley.
Charly begitu teruja apabila Ezad Lazim sudi beradu suara dengannya menerusi lagu Mencari Alasan (Exists) dan Bintang Kehidupan, lagu asal dendangan Allahyarham Nike Ardila dan mengakhiri konsert menerusi lagu Isabella.
Sebagai tanda penghargaan kepada pemuzik Malaysia yang sering dijadikan rujukan untuknya berkarya, dia turut mengundang Datuk M.Nasir ke pentas.
Konsert anjuran Menara Network Sdn.Bhd. berjaya memenuhi hasrat peminat menyaksikan magis band popular Indonesia itu menghadiahkan momen manis buat mereka yang hadir di Axiata Arena, semalam.