
Kumpulan DOLLA akhirnya mengadakan konsert sulung mereka yang sangat dinantikan oleh peminat. Penantian ini ternyata berbaloi apabila persembahan yang dipamerkan berjaya memukau dan memuaskan hati semua yang hadir. Dengan tarian yang bertenaga, vokal yang mantap, dan kehadiran pentas yang mempesonakan, konsert ini memperlihatkan bakat dan dedikasi DOLLA sebagai salah satu kumpulan wanita paling berpengaruh di Malaysia.
Konsert yang julung kali diadakan dengan nama “DOLLA Re:Birth The Experience,” telah berlangsung pada 3 Ogos 2024 di Zepp Kuala Lumpur bermula jam 8 malam. Konsert ini merupakan detik bersejarah bagi kumpulan tersebut dan para peminat mereka. Dengan persembahan yang memukau dan penglibatan penonton yang luar biasa, DOLLA membuktikan bahawa penantian panjang itu memang berbaloi.

Peminat disajikan dengan pelbagai lagu hits mereka, koreografi yang bertenaga, dan produksi pentas yang mempesonakan. Setiap anggota DOLLA menunjukkan dedikasi dan bakat mereka, membuatkan konsert ini menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
DOLLA yang dianggotai Angel, Sabronzo, dan Tabby berjaya memukau peminat yang hadir dengan persembahan mereka. Selepas persiapan intensif dan rapi, penonton dapat menyaksikan corak persembahan yang menakjubkan dan berbeza daripada yang pernah disajikan sebelum ini.
Penganjurnya, Hitman Solutions, menyifatkan konsert sulung DOLLA selepas lebih empat tahun mencipta nama dalam industri sebagai bukti hasil kerja keras mereka selama ini. Konsert “DOLLA Re:Birth The Experience,” dijangka melakar tahap baharu dalam corak persembahan dan mutu produksinya.


Menurut Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Hitman Group, konsert sulung DOLLA ini bukan sahaja mencerminkan hasil kerja keras dan dedikasi kumpulan tersebut tetapi juga memperlihatkan tahap profesionalisme dan kualiti yang mampu bersaing di peringkat global. Peminat yang hadir dapat merasai kehebatan dan keunikan persembahan DOLLA, yang dipersembahkan dengan mutu produksi yang tinggi dan penuh inovasi.
“Koreografi padu, vokal secara langsung yang mantap, dan tenaga tanpa batas mereka, apabila digabungkan dengan produksi serta reka bentuk set bermutu tinggi, menghasilkan persembahan luar biasa. Konsert pengenalan DOLLA yang cukup hebat ini adalah bukti ketara terhadap masa depan yang cerah buat kumpulan wanita Malaysia ini untuk terus maju. Matlamat kami adalah untuk menyediakan artis dengan platform yang membolehkan mereka mencapai potensi penuh mereka dan bersaing di peringkat antarabangsa,” kata Rohit Rampal.

Pengarah urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim juga berkata, “Saya sangat teruja untuk mempersembahkan pencapaian terkini DOLLA – konsert mereka yang sangat dinantikan, yang diberi nama “Re:Birth The Experience”. Konsert ini menjadi pengalaman yang luar biasa dan mendalam untuk peminat setia yang digelar iDolla, dan walaupun anda bukan peminat tegar, saya yakin anda akan menikmati setiap lagu, gerakan dan koreografi yang mencerminkan usaha keras yang telah dilakukan oleh seluruh pasukan dalam beberapa bulan terakhir.”
“Konsert ini, yang merupakan kolaborasi bersama Hitman Solutions adalah langkah besar dalam menggabungkan teknologi produksi terkini dengan hiburan, dan membolehkan kami memperluaskan kreativiti kami serta berkongsi muzik unik DOLLA. Terima kasih juga kepada Samsung atas sokongan tanpa henti yang diberikan kepada DOLLA sejak awal perjalanan mereka. DOLLA Re: Birth The Experience bukan sekadar konsert biasa, ia adalah sambungan kepada semangat dan komitmen yang telah kami curahkan sepenuh hati. Kami tidak sabar untuk membawa pengalaman ini dan mengembangkan hubungan DOLLA dengan peminat di seluruh kawasan tidak lama lagi.” kata Kim Lim.

Tambahan pula, perjalanan persiapan mereka turut mendapat khidmat nasihat dan penambahbaikan daripada pengarah konsert tersohor, Jenn Thompson. Berganda hebatlah setiap aspek mereka takluk sekaligus meninggalkan impak tersendiri pada malam itu. Jenn yakin pesona DOLLA lebih menyala di pentas dengan perincian merangkumi pelbagai aspek. Kelainan yang nyata dipamerkan mereka dengan dilengkapi sudut teknikal pada mutu tahap tertinggi.
Persiapan konsert berjalan dengan sangat intensif terutama buat ke semua anggotanya. Baik pada susunan muzik, latihan vokal, tarian, dan kecergasan. Ia adalah konsert yang cukup berbeza. Bukan sekadar muzikal saja, namun sangat mendalam disebabkan koreografi tarian serta tata riasnya yang mana menjadi aspek terpenting DOLLA,” katanya.

Menurut Jenn lagi, aspek teknikal muzikalnya juga cukup unik. Berbanding melakukan persembahan dengan muzik semata-mata seperti sebelum ini, DOLLA diiringi band pada malam konsert tersebut.
“Buat julung kali, mereka diiringi band dengan empat pemuzik. Paling penting ia digabungkan bersama susunan digital demi kekalkan bunyi serta perisa DOLLA. “Tidak syak lagi, kesemua anggotanya serta setiap pihak yang bekerjasama dengan mereka sudah berhempas pulas untuk menyediakan corak hiburan paling memuaskan buat peminat mereka,” katanya.
DOLLA merupakan antara artis tempatan yang memiliki ‘lightstick’ tersendiri, konsert tersebut bertukar ke sebuah lautan kemilau berona ungu. Elemen itu sekaligus memberi sentuhan suasana menjadi lebih magis. Peminatnya yang dikenali sebagai iDolla larut dalam visual memukau, kesan khas, dan reka bentuk pentas. Sepertinya penonton dibawa berlayar bersama dalam dunia DOLLA.


Selain itu, Paul Morrison, Pengarah Muzik “DOLLA Re: Birth The Experience,” berkata, “Setiap lagu telah dibayangkan semula untuk membawa penonton dalam perjalanan muzik. Ia adalah satu penghormatan bekerja dengan DOLLA, dan saya tidak sabar untuk mempersembahkan Re: Birth The Experience kepada dunia.”
Sementara itu, pengarah kanan, A&R dan Pengurusan Artis, Hermond Cheng berkata, “merenung perjalanan kami dari pelancaran lagu pertama DOLLA, “DOLLA Make You Wanna,” hingga konsert pertama mereka, “DOLLA Re:Birth The Experience,” kami dipenuhi dengan rasa syukur dan keterujaan. Dari menentukan bunyi dan identiti kumpulan mereka hingga melihat muzik mereka memberi kesan kepada pendengar, perjalanan kami sungguh luar biasa. Melalui kerja keras, dedikasi, dan sokongan padu peminat DOLLA, mereka telah berkembang bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga sebagai penghibur bertaraf antarabangsa. Keluarga Universal Music Malaysia berbangga dengan mereka dan berharap peminat, pendengar, dan penyokong akan menikmati malam yang penuh dengan muzik DOLLA.”