February 15, 2025

Kugiran muzik terkenal rock alternatif dari Indonesia, Noah telah mengadakan konsert terakhirnya di Kuala Lumpur sebelum mereka bercuti rehat. Ini diumumkan sendiri oleh Ariel sewaktu konsert Noah Menemaniku di Mega Star Arena Sungei Wang Kuala Lumpur, malam kelmarin.

“Ini akan menjadi show terakhir kami di sini, jadi selepas ini kami mahu libur (cuti) panjang dan malam ini harus kita kenang.” Ujar Ariel di hadapan 5,500 Sahabat Noah yang hadir.

Selain Ariel sebagai vokalis utama, Noah juga dibarisi pemain gitar, Lukman dan David di posisi keyboard. Membuka tirai dengan ‘Topeng’ membuatkan peminat terpukau dengan aksi pria terhebat ini secara tiba muncul dari bawah pentas dibawa naik dengan menggunakan sistem hidraulik. Tanpa banyak bicara, Ariel menguasai pentas dengan rangkaian lagu hit termasuk karya-karya beliau yang pernah popular sewaktu bersama Peterpan.

Penonton dikejutkan dengan kemunculan istimewa penyanyi hip hop tanah air, Joe Flizow atau dikenali sebagai Mr. President yang bergabung suara menerusi lagu ‘Suara Dalam Kepala’ dengan tepukan yang paling gemuruh.

Menurut Haniff Hamzah, selaku Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, “Kami semua merasai kegembiraan pada malam tadi, sesungguhnya sebuah persembahan yang unik, dengan paduan pentas utama dan pentas mini istimewa serta kejutan oleh Mr. President iaitu Joe Flizzow.

“Terdahulu, pembeli tiket bertuah berpeluang menyaksikan sesi ‘Soundcheck Experience’ selama 30 minit sebelum bermulanya konsert dan juga ‘Backstage Experience’ iaitu lawatan belakang pentas bagi merasai sendiri pengalaman yang berlaku di sebalik tabir.

Sementara itu, sekali lagi Noah mengejutkan peminat apabila mereka berada di tingkat atas ruangan menonton. Dihiasi ‘Bintang Di Surga’ tiga sosok pemuda ini iaitu Ariel, Lukman dan David mengambil tempat membuatkan penonton menyanyi bersama sebelum Ariel dan David membiarkan Lukman bersendirian. Lukman turut menyanyikan lagu berjudul ‘Semua Tentang Kita’ sambil memetik gitar akustiknya dengan dibantu oleh suara penonton.

Pria yang menjadi kegilaan ramai wanita ini sangat mesra dengan peminatnya. Ariel yang sentiasa melontarkan senyuman sepanjang konsert tidak sedikit pun menunjukkan rasa lelah malah aksinya sangat energetik. Seorang peminat wanita ‘cair’ apabila Ariel memanggilnya untuk naik ke atas pentas sambil beliau mendendang lagu ‘Itu Cinta’ yang ditujukan khas buatnya.

Dibawa khas oleh syarikat penganjur acara yang kian menempa nama, YOLO Malaysia menjadikan malam itu penuh dengan kepuasan apabila hampir keseluruhan jangkaan 24 buah lagu hitnya dinyanyikan. ‘Ada Apa Denganmu’, ‘Di Balik Awan’, ‘Separuh Aku’, ‘Mimpi Yang Sempurna’, ‘Tak Bisakah’, ‘Menunggumu’ dan semestinya ‘Mungkin Nanti’ yang telah melonjakkan namanya di persada muzik seluruh jagatraya.

Menurut Hamka Mohd Taufik, Penerbit Kreatif YOLO Malaysia, “Berbezanya pada tahun ini, konsert YOLO x Noah merupakan kolaborasi bersama di mana ‘team’ YOLO Malaysia turut terbabit dalam setiap langkah produksi menuju ke hari konsert, dari segi persiapan sehinggalah proses akhir, menjadikan persembahan pada malam ini sebuah pengalaman yang sekali dalam seumur hidup.

Sehari sebelum konsert, pada 10 November 2023, sebuah majlis makan malam ‘meet & greet’ berkonsepkan santai bersama Noah dengan peminat-peminat bertuah dihoskan Dina Nadzir telah diadakan di hotel terkemuka, Grand Hyatt, di mana peminat berpeluang merasai aktiviti ‘fun & games’ bersama Noah.

Tambah Ib Harun, Pengasas YOLO Asia, “Walaupun ini merupakan konsert terakhir Noah di Kuala Lumpur, YOLO Asia akan mengalihkan fokusnya pula terhadap konsert Noah di Singapura di bawah kelolaan YOLO Singapore yang bakal berlangsung pada 17 Disember 2023 ini di Singapore Expo Hall 1.

“Kami juga turut berbangga mengumumkan pelancaran YOLO Japan, di mana YOLO Japan merupakan rakan penganjur bagi konsert Noah Live in Yokohama pada 5 November 2023 lalu, yang berlangsung di Yokohama Bay Hall, Jepun.

“Selain itu, YOLO Borneo juga akan menganjurkan konsert Rockin’ Borneo with SEARCH pula di Sabah Convention Center pada 9 Disember 2023 nanti.

Jangan lupa dapatkan tiket-tiket ke konsert Rockin’ Borneo with SEARCH (YOLO Borneo) dan NOAH Energized Singapore (YOLO Singapore) di laman web YOLOasia.com tidak lama lagi!