April 20, 2024

(Oleh: Heyawaha)

PETALING JAYA – Pada 2 Mac 2024, Surf Beach Sunway Lagoon menjadi tempat bagi pencinta setia muzik indie Malaysia dengan berlangsungnya konsert yang dinantikan, ‘Und3rground’. Konsert ini memaparkan kehadiran tiga ikon utama dalam genre ini: Bunkface, Hujan, dan Butterfingers.

Malam itu dibanjiri 6,000 fanatika dengan kekuatan muzik dan semangat yang membara, bermula dengan pembukaan yang ikonik oleh ketiga-tiga band tersebut. Butterfingers menggerakkan pentas dengan “Vio-Pipe”, diikuti oleh Hujan dengan “Luka Mana”, dan Bunkface dengan “Bunk Anthem”. Respons yang dahsyat dari peminat setia, yang dikenali sebagai ‘Raingers’, ‘Bunkers’, dan ‘Royal Butters’, membuktikan betapa kuatnya hubungan antara artis dan penyokong.

Bunkface mengambil alih pentas dengan penuh semangat, membawa lagu-lagu klasik yang disukai ramai seperti “Malam Ini Kita Punya”“Ekstravaganza” dan “High School Rocker”. Walaupun terdapat sedikit masalah teknikal semasa lagu “Silly Lily”, semangat Bunkface tidak terbantut dan para peminat terus bergema dengan lagu-lagu seperti “Rentak Laguku”“Darah Muda” dan “Situasi”.

Kemuncak kehangatan malam itu tiba dengan penampilan penuh energetik dari Hujan, yang membawa penggemar dari seluruh Malaysia berdendang bersama mereka. Lagu-lagu seperti “Perindu Kalbu”“Jiwa Kelajuan” dan “Lonely Soldier Boy” tidak hanya menghibur, tetapi juga mengukuhkan kembali ikatan di antara band dan peminat. Aksi luar biasa dari AG Coco, yang memainkan gitar dengan giginya, memberikan sentuhan yang lebih memukau kepada penonton, menjadikan penutupan lagu “Empayarmu” sebagai momen penuh magis yang tak terlupakan.

Butterfingers, sebagai legenda sejati, membawa sesuatu yang unik pada malam itu dengan setlist yang penuh dengan lagu-lagu yang ikonik. Sebelum memulakan persembahan, Noh Hujan mengucapkan kata-kata yang menyentuh hati, “Malam ni malam bersejarah buat kami sebab dapat berkongsi pentas dengan legend – Butterfingers! Tanpa Butterfingers tiada lah Hujan.” mengakui betapa pentingnya malam itu buat Hujan dan Bunkface. Gabungan Butterfingers bersama Hujan dalam lagu-lagu seperti “Kembara” dan “Obsesi” memberikan aura yang luar biasa kepada persembahan itu.

Tidak lupa menghibur Royal Butters, Butterfingers membawa lagu-lagu seperti “Royal Jelly”“Moksha” dan “Selamat Tinggal Dunia”, menyentuh jiwa dan mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai band legenda.

Penutupan malam itu menjadi momen yang tak terlupakan, di mana Bunkface, Hujan, dan Butterfingers bersama-sama membawa muzik indie Malaysia ke puncak dengan lagu “Aku Skandal”.

Konsert ‘Und3rground’ 2024 yang dibawa oleh Hitman Solutions tidak hanya menjadi persembahan muzik yang hebat, tetapi juga menunjukkan kehebatan dan kekuatan komuniti peminat indie dalam meneruskan warisan budaya punk rock di Malaysia. Ia adalah bukti betapa muzik tidak hanya menjadi bentuk seni, tetapi juga bahasa yang menyatukan jiwa-jiwa yang serupa.