KUALA LUMPUR, 25 April 2025 – Kumpulan legenda rock tempatan, Spider, bakal menghiburkan peminat mereka menerusi ‘Spider Unplugged Concert’ yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2025. Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi satu lambang kredibiliti dan dedikasi kumpulan itu dalam dunia muzik tempatan selama lebih dua dekad.
Ditubuhkan sejak tahun 1996, Spider telah melalui pelbagai cabaran dalam industri hiburan tanah air. Di sebalik realiti dunia hiburan yang tidak menentu, kumpulan ini kekal berdiri teguh dengan karya-karya berkualiti hasil bimbingan maestro, Dato’ M Nasir. Mereka tidak sekadar menghasilkan lagu, malah mencipta legasi tersendiri dalam landskap muzik Malaysia.
Antara lagu yang terus segar dalam ingatan peminat termasuk Nazraku, Aladdin, Relaku Pujuk, Kasih Latifah, dan Cinta Dewa Dewi. Populariti mereka melonjak apabila Relaku Pujuk dinobatkan sebagai Juara Lagu 2004, dan Nazraku menerima anugerah Album Pop Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2005.

Kini, selepas 29 tahun, Spider bukan sekadar sebuah kumpulan muzik, tetapi ikon kepada generasi baharu pemuzik tempatan. Kejayaan single terbaharu mereka, Keluar Sarang (2024), membuktikan kumpulan ini masih berbisa dan relevan.
Melihat sambutan peminat yang tidak pernah surut, pihak Naga Legend Entertainment tampil menganjurkan konsert eksklusif berkonsep ‘unplugged’ buat pertama kali bersama Spider. Menurut wakilnya, Fandy Alias, konsert ini bakal menyajikan kelainan yang istimewa.
“Sebutan nama Spider sahaja sudah cukup mengujakan kami. Apabila lamaran kami disambut baik, kami tahu konsert ini bakal menjadi momen yang luar biasa. Konsep unplugged yang kami bawa bersama Spider adalah sesuatu yang eksklusif dan belum pernah dipersembahkan,” ujar Fandy.
Bagi ahli kumpulan Spider yang terdiri daripada Tam (vokal), Aie (dram), Iss (bes) dan Pown (gitar), konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi satu persefahaman bersama penganjur dalam menyampaikan karya dengan penuh integriti dan standard tertinggi.
“Spider tidak mahu hanya sekadar membuat konsert. Kami mahu peminat pulang dengan kenangan yang bermakna. Kami tekankan aspek konsep, kualiti audio, sistem teknikal dan persediaan menyeluruh sebelum menaiki pentas,” kata Tam mewakili kumpulan Spider.

Beliau turut menyifatkan ‘Spider Unplugged Concert’ sebagai satu persembahan istimewa yang belum pernah dilakukan sebelum ini – sekaligus mencipta sejarah baharu dalam portfolio persembahan Spider.
Tiket mula dijual bermula hari ini di laman sesawang rasmi www.ilassotickets.com/spiderunplugged. Harga tiket ditawarkan mengikut kategori berikut:
- RM198 – ALADDIN (Free Seating)
- RM238 – CINTA DEWA DEWI (Numbered Seat)
- RM298 – KASIH LATIFAH (Numbered Seat)
- RM388 – RELAKU PUJUK (Numbered Seat)
Peminat dinasihatkan agar tidak berlengah mendapatkan tiket kerana sambutan dijangka hangat seperti konsert-konsert Spider terdahulu yang sentiasa mencetuskan fenomena.