September 8, 2024

KUALA LUMPUR – Trio metal berhijab Indonesia, Voice Of Baceprot (VOB) telah menggegarkan ibu kota Kuala Lumpur, Ahad lalu. VOB tampil dengan sebuah konsert sulung mereka ‘Voice Of Baceprot Live In Kuala Lumpur’ yang berlangsung di pentas bertaraf antarabangsa Zepp, Kuala Lumpur.

Band metal yang dianggotai tiga gadis berasal Garut, Jawa Barat ini, mula menempa nama di kalangan peminat muzik metal seluruh dunia apabila tampil memberi nafas baharu kepada lagu-lagu metal band kegemaran ramai seperti Metallica, Anthrax, Slipknot, Red Hot Chili Pappers dan Rage Against The Machine.

Persembahan bertenaga yang ditampilkan VOB

VOB membuka tirai pentas tepat jam 9.15 malam menerusi intro sama seperti pembukaan konsert Hellprint Monster Of Noise, seminggu sebelumnya. Tanpa berlengah VOB mula menggasak dengan penuh energetik menerusi lagu Not Public Property, The Enemy Of Earth Is You dan Aged Oriented meskipun penyanyi utamanya mengalami sedikit masaalah kesakitan di bahagian tekak, namun lontaran vokalnya tetap memukau penonton yang menggemari muzik ‘keras’ mereka.

Vokalis dan pemain gitar VOB, Firdda Marsya Kurnia

Menurut vokalis dan pemain gitar, Firdda Marsya Kurnia, mereka sangat gembira dan teruja apabila berpeluang dapat mengadakan persembahan di Malaysia kerana ini adalah konsert VOB yang pertama kali diadakan di Malaysia.

“Kami sangat gembira dapat bikin konsert di Malaysia dan bertemu dengan pengemar VOB di sini. Kami berharap ini bukannya yang terakhir malah akan ada lagi dan terus ada lagi peluang buat kami untuk bikin konsert di sini,” ujarnya.

Selanjutnya VOB menghangat suasana menerusi lagu PMS, Kawani, What’s The Holy Nobel Today? dan School Revolution.

Pemain Bass VOB, Widi Rahmawati

Menurut Marsya lagi, konsert ‘Voice Of Baceprot Live In Kuala Lumpur’ ini amat bermakna buat dirinya dan juga Widi Rahmawati (bass) serta Euis Sitti (drum), kerana konsert ini adalah sempena ulangtahun keberadaan VOB dalam industri muzik semenjak 2014 lagi.

Kehebatan lagu-lagu ‘cover’ mereka turut mendapat pujian oleh nama-nama hebat, antaranya Slash, Tom Morello dan Flea, pemain bass RHCP. Tidak ketinggalan mereka telah membawa sebuah lagu Anthrax berjudul Got The Time. VOB mengakhiri persembahan menerusi lagu God Allow Me (Please) Play The Music, tetapi peminat kental metal tidak berganjak dan mahukan VOB meneruskan lagi persembahan.

Pemain drum VOB, Euis Sitti

Tidak mahu menghampakan peminat mereka, VOB meneruskan persembahan menerusi sebuah lagu ‘cover’ berjudul Sabotage.

Sebelum itu, konsert ‘Voice Of Baceprot Live In Kuala Lumpur’ yang dibawa khas oleh Pentas 365 selaku penganjur utama dengan kerjasama rakan penganjur, Lampuneon juga menampilkan Blind Tribe sebagai band pembuka konsert. Band trash heavy metal yang telah wujud semenjak 1994 ini, memberikan persembahan yang penuh bertenaga menerusi lagu Thy Devine Faith, One Man Machine, U2, Head Up dan Berita Gempa.

Konsert dimulakan dengan persembahan Blind Tribe
Tam, vokalis dan pemain gitar Blind Tribe
Persembahan bertenaga ditampilkan VOB
persembahan penuh bertenaga yang ditonjolkan Blind Tribe