February 16, 2025

SHAH ALAM – Walaupun hujan lebat mencurahi Stadium Malawati Shah Alam dan juga kawasan sekitarnya, sedikitpun tidak mematahkan semangat hampir 9,000 peminat Wings untuk hadir ke Konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur Chapter, Sabtu lalu.

Konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur Chapter mencatatkan sejarah kejayaan buat Wings selain dari jualan tiket dengan harga rahmah serta ‘sold out’, Wings juga berjaya menarik peminat generasi muda untuk datang menyaksikan ke konsert mereka dan inilah kelebihan yang ada pada Wings dimana mereka dapat beradaptasi dengan trend semasa. Konsert ini bagaikan hari besar buat Wings bagi meraikan perjuangan mereka selama hampir 40 tahun dalam industri muzik tanah air dan juga hadiah untuk peminat yang sentiasa menyokong mereka selama ini.

Wings tampil dengan persembahan yang cukup bertenaga dibantu dengan paparan visual di skrin LED, penataan cahaya serta sistem bunyi yang jelas menjadikan sebuah konsert penutup paling hebat bagi tahun 2023. Aksi Dato’ Awie yang sentiasa energetik dan konsisten dari mula hingga ke akhir konsert membuatkan peminat terpukau malah tidak berganjak walaupun persembahan sudah berakhir.

Lebih 20 buah lagu dipetik dari setiap album studio mereka telah berjaya dipersembahkan pada malam itu. Antara lagu hit yang dibawa seperti Adone Dari Paran, Jumpa Hilang, Lubuk Pusing, Cinta Seusia Kita, Jerangkap Samar, Bernafas Dalam Lumpur, Gemuruh, Ingatkan Dia, Dalam Kehadiran Sofea serta lagu madley Intan Ku Kesepian, Belenggu Irama, Anugerah, Misteri Mimpi Syakila, Jerangkung Dalam Almari dan Rantai. Menariknya lagu Nurnilam Sari mencetuskan kegamatan di dalam stadium tersebut apabila Awie mengubah lirik menjadi ‘Pinjam seratus Nurnilam Sari’. Lagu ini pernah tular di kalangan warga maya.

Konsert berkonsep teaterikal dengan tema ala ‘viking’ ini turut menampilkan segmen penghormatan kepada band rock yang menjadi inspirasi mereka menerusi lagu Holiday nyanyian asal Scorpion, Black Night yang dipopularkan oleh Deep Purple, Nobody’s Fool oleh Cinderella serta lagu nyanyian kumpulan Loudness iaitu Run For Your Life dan Like Hell.

Sekali lagi Wings tampil dengan segmen khas buat pejuang di Palestin dengan paparan video kemusnahan yang berlaku di Gaza. Awie memulakan bacaan doa yang menyentuh perasaan. Wings yang dianggotai Eddie, Black, Edrie dan Syam mempersembahkan lagu selawat, Allah Allah Aghisna dendangan asal penghibur dari Indonesia, Nazwa Maulidia.

Wings mempersembahkan lagu terakhir menerusi Taman Rashidah Utama, akan tetapi melihat peminat seakan tidak berganjak, akhirnya Wings akur dengan menyanyikan lagu wajib iaitu Sejati, Harapan dan Romania sebelum mengundurkan diri.

Terdahulu, konsert yang dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah manakala Awie Entertainment bertindak sebagai rakan strategik telah berjaya ‘meragut’ ribuan peminat yang sentiasa dahagakan ‘kuasa’ muzik sebenar. Konsert ini adalah susulan kejayaan yang telah dicipta di pentas The Star Theatre, Singapura pada Julai lalu dengan konsep yang sama. Konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur Chapter ini juga sebagai konsert penutup bagi tahun 2023 yang akan dikenang sebagai sebuah konsert rock terhebat.