PUTRAJAYA, 2 Disember 2020 – WALAUPUN pelbagai genre muzik mewarnai industri muzik tempatan, nasyid dilihat masih mendapat permintaan tinggi dan kekal relevan walaupun ada ketikanya mengalami zaman suram.
Barangkali aura kehebatan yang dimiliki setiap kumpulan nasyid membuatkan genre ini kekal utuh dan menjadi pujaan ramai.
USTAZ 3 BERADIK yang dianggotai oleh Ustaz Zarifi, Ustaz Hariri dan Ustaz Ihsan dilihat sebagai penyambung legasi muzik nasyid tempatan.

Ini terbukti apabila trio USTAZ 3 BERADIK tampil dengan single terbaru mereka yang berjudul “Si Bujur Sireh” bagi menyantuni golongan orang kelainan upaya dan juga memperingati Sambutan Hari OKU Sedunia yang disambut pada 3 Disember setiap tahun.
Menurut pencipta lagu Si Bujur Sireh ini iaitu Fadzli Fareast dan Hazalinda Harun adalah supaya harapan mereka agar lagu ini menjadi terapi kepada anak-anak istimewa, ibu bapa anak-anak istimewa dan masyarakat.
Ditanya mengenai perasaan merakamkan lagu tersebut, “Sudah lama saya berfikir untuk menghasilkan lagu bertemakan anak istimewa. Kebetulan pula, saya dianugerahkan anak istimewa “Anas Amini”. Saya fikir ini adalah tanggungjawab dakwah saya untuk mengajak masyarakat untuk sama-sama menyantuni anak-anak istimewa. Saya merancang lagu ini sebenarnya pada awal tahun 2020. Setelah berbincang dengan adik-adik saya dan Alhamdulillah mereka setuju. Akhirnya kami sekali lagi mengundang Saudara Fadzli Fareast dan Puan Hazalinda Harun untuk sekali lagi bekerjasama dalam projek khas kali ini. Semoga sumbangan kecil kami ini dapat mewarnai arena dakwah kreatif.
Bujur sireh dalam peribahasa kita membawa erti bentuk muka memanjang. Ia simbolik kepada tulus, suci dan ikhlasnya anak-anak istimewa. Mereka perlu disantuni dengan kasih sayang. Hasrat kami selepas ini bila kita bertemu dengan anak-anak istimewa, usah anggap mereka orang asing. Dekatilah mereka. Gembirakan mereka. Bantulah mereka dalam ruang kemampuan kita. Kebetulan tema lagu Si Bujur Sireh adalah berkaitan anak istimewa. Jadi ia bersatu antara melodi dan lirik” jelas Ustaz Zarifi yang juga merupakan abang sulong kepada Ustaz Hariri dan Ustaz Ihsan.

Mengenai perancangan, beliau memberitahu “setakat ini USTAZ 3 BERADIK sudah mempunyai 2 lagu dan kami akan terus menyanyikan lagu-lagu bertemakan kekeluargaan. Jika lagu pertama dahulu (akhir tahun 2019) bertemakan ibu, lagu terbaru ini temanya anak istimewa. Insyaallah inilah cabang dakwah kami. Kami banyak mengambil semangat dari penggiat nasyid senior termasuklah komposer baharu sekarang.
Menjadikan kumpulan KRU sebagai idola, “terus terang kami dahulu memang membesar dengan lagu-lagu KRU. Ia sedikit sebanyak memberi motivasi kepada kami untuk mengikuti jejak langkah abang-abang KRU. Kami adik-beradik pula tampil menyanyikan lagu-lagu dakwah” ujar Zarifi mengakhiri perbualan bersama Kelkatu TV.
Lagu ‘Si Bujur Sireh’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Ustaz 3 Beradik.