KRU Gegar Singapura: Konsert GenKRU Live In Singapore Bakal Cipta Fenomena 28 Jun Ini

SINGAPURA, 12 April 2025 – Selepas mencetuskan sejarah di Kuala Lumpur, kumpulan legenda KRU kini bersedia untuk menghangatkan pentas di The Star Theatre, Singapura menerusi konsert GenKRU Live In Singapore yang dijadual berlangsung pada 28 Jun 2025.

Kehadiran semula trio adik-beradik – Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim – ke pentas setelah sekian lama menyepi, membuktikan bahawa aura KRU sebagai ikon muzik tempatan kekal utuh dalam kalangan peminat yang membesar bersama karya-karya mereka sejak penubuhan kumpulan itu pada 1992.

Menurut penganjur konsert, ICON Entertainment, keputusan untuk membawa konsert ke Singapura dibuat susulan sambutan luar biasa terhadap Konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini yang mencatat sejarah sebagai konsert kumpulan muzik tempatan pertama berlangsung selama tiga hari berturut-turut.

Pengasas dan pemilik ICON Entertainment, Iman Tang, menyifatkan peluang untuk membawa KRU ke Singapura sebagai satu pencapaian besar dalam usaha menghidupkan semula nostalgia muzik tempatan di peringkat serantau.

“Kami percaya peminat KRU di Singapura juga layak menikmati momen istimewa ini di negara mereka sendiri. Setelah kejayaan di Kuala Lumpur, tiada sebab untuk tidak membawa gelombang GenKRU ke Kota Singa,” katanya.

Bagi pihak KRU pula, konsert ini dilihat sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia di Singapura yang terus memberikan sokongan meskipun kumpulan itu telah mengumumkan pembubaran pada tahun 2018.

“Kami tidak sangka sambutan peminat masih begitu kuat. Maka, konsert ini adalah cara kami untuk ucap terima kasih kepada semua yang tidak pernah berhenti menyokong,” ujar Edry Abdul Halim yang turut meminta peminat agar bersedia dengan dress code yang akan diumumkan kelak dan menghafal lagu-lagu KRU untuk pengalaman konsert yang lebih meriah.

Konsert ini dijangka menarik perhatian ribuan peminat dari Singapura dan negara jiran. Tiket akan mula dijual secara berperingkat menerusi laman rasmi SISTIC.

Maklumat Konsert:

  • Konsert: GenKRU Live In Singapore
  • Tarikh: Sabtu, 28 Jun 2025
  • Masa: 8 malam
  • Lokasi: The Star Theatre, Singapura
  • Penganjur: ICON Entertainment
  • Platform Jualan Tiket: www.sistic.com.sg

Kategori Tiket:

  • The Way We Jam – SGD $208
  • Mengerti – SGD $218
  • Awas – SGD $228
  • Ohh! La! La! – SGD $288
  • Fanatik – SGD $328

Peminat dinasihatkan untuk mengikuti pengumuman rasmi dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembelian tiket dan kemas kini terkini berkenaan konsert.

KRU bakal kembali mengukir sejarah, kali ini di pentas antarabangsa. Singapura, bersedialah untuk satu malam yang penuh nostalgia dan magis bersama GenKRU.