January 15, 2025

KUALA LUMPUR – Selepas lebih tiga dekad mencipta legasi dalam industri hiburan tanah air, trio legenda KRU, Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim, akan kembali menggegarkan pentas melalui Konsert GENKRU pada 3 Mei 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Dianjurkan oleh ICON Entertainment, konsert ini dijangka menjadi satu acara bersejarah, menampilkan perjalanan seni KRU yang penuh revolusi sejak mula mencipta fenomena pada tahun 1992 dengan irama pop dan hip hop yang segar.

“Legenda Sepanjang Zaman”

Pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, menyifatkan KRU sebagai ikon muzik tempatan yang sentiasa relevan sepanjang lebih 30 tahun dalam industri hiburan.

“Adalah penghormatan besar buat ICON Entertainment untuk menganjurkan Konsert GENKRU kerana kredibiliti KRU yang tidak pernah pudar. Sejak November 2022, saya telah merisik mereka, dan akhirnya mereka bersetuju pada September 2024.

“Konsert ini akan menjadi pengalaman epik. Jika anda peminat setia KRU, anda pasti akan menyesal besar jika tidak hadir,” ujar Iman Tang.

Kembali Selepas 33 Tahun

KRU yang kali terakhir tampil dalam Konsert GenerasiKRU25 pada Mei 2018 di Istana Budaya, kini bersedia melakar sejarah baharu. Trio ini menjanjikan sebuah persembahan istimewa yang akan membawa peminat merentasi transisi muzik mereka dari era 90-an sehingga kini.

“Kami menerima cadangan penganjuran Konsert GENKRU kerana ICON Entertainment berkongsi misi dan visi yang sama dengan kami untuk terus merevolusikan muzik tempatan setaraf antarabangsa,” kata KRU dalam kenyataan bersama.

Tiket Mulai 20 Disember 2024

Peminat setia KRU boleh mendapatkan tiket bermula 20 Disember 2024, jam 11 pagi, di laman web rasmi www.ticket2u.com.my/kru. Harga tiket ditawarkan dalam enam kategori:

• OOH!LA!LA! (RM258)

• AWAS (RM358)

• MENGERTI (RM478)

• TERHANGAT DI PASARAN (RM508)

• APASAJA (RM548)

• FANATIK (RM588)

“Konsert Epik 2025”

Enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai konsep persembahan, KRU berikrar bahawa Konsert GENKRU bakal menjadi momen paling epik dalam kalendar hiburan Malaysia pada tahun 2025.

Jadi, kepada peminat muzik tempatan, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sejarah tercipta pada 3 Mei 2025. Jika tidak, anda mungkin akan terus berada “Di Dalam Dilema”!