KUALA LUMPUR – Kumpulan KRU, nama besar dalam industri muzik tempatan, melancarkan single dan video muzik terbaru mereka berjudul “Voodoo” dari album terkini “Kaset” yang diumumkan bulan lalu. Single ini mengekalkan identiti muzik asal KRU, menggabungkan elemen Pop Dance, Hip Hop, dan R&B, yang mengimbau nostalgia zaman kegemilangan mereka.
Lagu ciptaan Norman, Yusry, dan Edry ini memperlihatkan kematangan vokal KRU, kreativiti dalam penciptaan lagu, serta kecanggihan penerbitan muzik. “Voodoo” mengisahkan keterujaan, kekeliruan, dan perasaan seorang lelaki yang terperangkap dalam tarikan luar biasa seorang wanita misteri.
Yang menarik perhatian, video muzik “Voodoo” menghidupkan semula era awal 90-an dengan mengisahkan fiksyen prequel kerjaya KRU sebelum pelancaran album pertama mereka pada 1992. Video muzik ini turut mencatat sejarah sebagai projek pertama artis tempatan yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta Digital Twin bagi ketiga-tiga anggota KRU. Langkah ini mengukuhkan kedudukan KRU sebagai perintis inovasi dalam industri hiburan tanah air.
“Kami gembira dapat kembali selepas enam tahun dengan lagu ‘Voodoo’. Ia bukan sahaja memperkenalkan karya terbaru kami, tetapi juga membuka lembaran baru dalam penerbitan muzik tempatan menggunakan teknologi AI. Kami harap lagu ini mendapat tempat di hati peminat dan menjadi pencetus kepada ‘reunion’ bersama kami di konsert ‘Kaset’ tahun depan,” ujar Edry.
Menurut Yusry, proses penggambaran video muzik ini mencabar tetapi pantas, mengambil masa hanya lapan hari untuk disiapkan. “Berbeza dengan penerbitan filem yang punya tempoh masa lebih panjang, kami perlu bergerak dengan pantas bagi memenuhi tarikh akhir,” katanya.
Norman pula berkongsi pengalaman menarik di lokasi penggambaran di sebuah hospital terbiar di Pulau Carey. “Lokasi ini agak menyeramkan, jadi kami perlu menyelesaikan penggambaran sebelum malam menjelang. Walaupun mencabar, ia memberikan pengalaman berbeza buat kami,” jelasnya.
Tambah Norman, “Voodoo” dipilih sebagai lagu pembuka kerana tradisi KRU adalah memulakan kempen dengan lagu rancak untuk membangkitkan semangat peminat.
“Kami juga melihat peluang untuk menggunakan teknologi baru ini sebagai satu lonjakan. Album ini terdiri daripada 10 lagu, tetapi kami percaya ‘Voodoo’ adalah pilihan terbaik untuk mencetus keterujaan,” katanya.
Lagu “Voodoo” kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, dan Spotify, manakala video muziknya telah dilancarkan di saluran YouTube krubros. Untuk maklumat lanjut, ikuti akaun rasmi KRU di Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube.
KRU – Voodoo (official music video)