Kuala Lumpur Jadi Medan Rampasan Akim & The Majistret!

KUALA LUMPUR, 14 Mei 2025 – Kuala Lumpur bakal digegarkan dengan kehadiran kumpulan rock popular tanah air, Akim & The Majistret, menerusi konsert solo pertama mereka yang diberi judul Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur. Konsert yang dinanti-nantikan ini akan berlangsung pada 28 Jun 2025, jam 8.30 malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Pemilihan judul “Rampas Kuala Lumpur” bukan sekadar gimik pemasaran semata-mata, sebaliknya diilhamkan daripada lagu hit mereka, Rampas, yang menjadi lambang kekuatan dan identiti kumpulan ini sebagai sebuah band rock yang agresif dan berkarisma. Lagu ini bukan sahaja menonjolkan keunikan muzik mereka, malah menjadi simbol semangat perjuangan mereka dalam misi menawan hati pendengar tanah air.

Akim menjelaskan berkenaan konsert yang bakal berlangsung pada 28 Jun akan datang

Konsert ini bakal menyaksikan lebih 20 buah lagu dibawakan secara langsung di pentas, menjadikannya bukan sekadar persembahan biasa tetapi sebuah manifestasi muzik rock Malaysia. Ia juga merupakan pengisytiharan rasmi daripada Akim & The Majistret bahawa mereka kini bersedia untuk mengukuhkan kedudukan sebagai antara peneraju utama industri muzik tempatan.

Menurut vokalis utama, Akim Ahmad, impian untuk mengadakan konsert solo ini telah lama ditanam, namun titik perubahan terbesar berlaku dua tahun lalu apabila beliau mengambil keputusan untuk berhenti merokok demi menjaga kesihatan mental dan fizikalnya. Beliau mengakui tidak menjangka akan menerima tawaran daripada pihak penganjur, Showtag dan Juragan, untuk merealisasikan impian ini, namun menganggapnya sebagai satu peluang yang tidak boleh dilepaskan.

“Saya dah mula jaga kesihatan sejak dua tahun lepas tanpa fikir langsung tentang konsert. Tapi apabila tawaran ini datang, saya terus setuju. Ini bukan sekadar konsert, tapi satu misi yang besar untuk kami dan saya harap momentum ini kekal hingga ke hari konsert,” ujar Akim dalam satu sidang media yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, di sini petang tadi.

Akim & Majistret

Akim & The Majistret bukan kumpulan biasa. Mereka merupakan gabungan pemuzik-pemuzik hebat tanah air yang berasal daripada kumpulan-kumpulan ternama seperti 6ixth Sense, Hyper Act, Sofazr dan New Boyz. Barisan ahli terdiri daripada Akim Ahmad selaku vokalis, Wan 6ixth Sense (dram), Freddy Hyper Act (gitar), Fairuz Sofazr (bass), Afiez Azam New Boyz (keyboard), serta Gjie 6ixth Sense dan Zimi Sofazr (gitar). Kesemua mereka merupakan pemain utama dalam kumpulan asal masing-masing, menjadikan Akim & The Majistret sebuah kumpulan ‘all-star’ yang sukar ditandingi.

Bagi memeriahkan lagi promosi konsert, mereka tampil dengan konsep unik yang menampilkan Akim sebagai “Komander Akim” bersama barisan ahli kumpulan sebagai “Tentera Majistret”. Misi mereka adalah jelas: untuk merampas Kuala Lumpur melalui kekuatan muzik. Namun, rampasan ini tidak dilakukan secara bersendirian. Setiap pemegang tiket secara automatik akan diiktiraf sebagai “Perisik Majistret”, iaitu barisan penyokong utama yang akan memainkan peranan penting menjayakan misi ini.

bersama team Juragan

Perisik Majistret bukan sahaja dijangka hadir sebagai penonton, malah akan diberikan beberapa misi khas sebelum konsert berlangsung. Sorakan, nyanyian dan semangat mereka akan menjadi kekuatan utama Tentera Majistret dalam menjayakan rampasan ini agar ia tidak hanya menjadi angan-angan, tetapi satu realiti yang menggegarkan.

Tiket konsert boleh didapati di laman web rasmi www.ticket2u.com.my/rampas. Harga tiket yang ditawarkan adalah RM189 untuk kategori CAT1 (Saksama – Rockzone), RM159 untuk CAT3 (Mewangi – Normal Seating), manakala tiket kategori CAT2 (Potret – VIP Seating) pada harga RM249 telah pun habis dijual. Pembayaran boleh dibuat menggunakan kad debit/kredit, FPX (online banking) serta perkhidmatan bayaran ansuran seperti Atome dan SPayLater.

Sebagai rakan kreatif rasmi konsert, Racus Studio memilih untuk menjadikan konsert ini satu pengalaman yang luar biasa. Penonton tidak lagi sekadar hadir untuk menonton, sebaliknya menjadi sebahagian daripada pasukan rampasan kuasa muzik rock yang dirancang rapi. Konsep interaktif ini menjadikan setiap pemegang tiket sebagai pemain utama dalam pementasan berskala besar ini.

Bersama team penganjur, Showtag Entertainment

Walaupun konsep penuh persembahan masih dirahsiakan, hanya mereka yang bergelar Perisik Majistret akan mengetahui rahsia sebenar apabila tiba hari konsert. Kuala Lumpur hanyalah permulaan. Selepas ini, lebih banyak lokasi dijangka menjadi sasaran dalam siri jelajah seterusnya, menjadikan konsert ini sebagai titik mula revolusi muzik rock tanah air.

Tiket percuma juga ditawarkan bagi mereka yang mengikuti @showtagasia di Instagram dan TikTok, di mana pelbagai kejutan termasuk barangan eksklusif menanti para peminat.

Ini bukan sekadar konsert. Ini adalah permulaan rampasan kuasa muzik rock sebenar oleh Akim & The Majistret. Tempat anda? Di barisan hadapan. Jumpa di medan!