November 2, 2024

KUALA LUMPUR : 3 September yang lepas mungkin satu tarikh yang amat bersejarah buat Rizki Rahmahadian Pamungkas, atau lebih dikenali dengan nama, Pamungkas. Hampir 3,000 orang peminat artis dari Jakarta, Indonesia tersebut membanjiri Megastar Arena di Viva Mall untuk menyaksikan persembahan Pamungkas dalam siri konsert jelajah ‘Birdy’ Asia Tenggara.

Malaysia merupakan negara ketiga disenaraikan di dalam destinasi konsert selepas Thailand dan Filipina. Sejak Pamungkas mula sampai ke Kuala Lumpur, ternyata jadualnya begitu ketat sekali. Bermula dengan Sidang Media di Swee Lee, Lot 10 pada petang 2 September selepas usai solat Jumaat dan kemudiannya bergegas pula ke The Bee di Publika untuk sesi bertemu peminat dan sebuah ‘mini showcase’ yang dianjurkan khas buat peminat tegar penyanyi, komposer dan juga pelakon berusia 29 tahun itu. Ternyata, walaupun boleh dianggap baru di dalam dunia muzik dan juga selepas dua tahun tidak membuat sebarang persembahan berskala besar, Pamungkas kekal profesional. Dia ramah melayan pertanyaan para media dan amat senang berbual dan bergambar dengan peminat yang menghampirinya. Segalanya tentang Pamungkas bagaikan mudah.

Konsert yang dibawa dan dianjurkan oleh Tala Records Asia, SoundScape and Maspam tersebut dianggap sangat berjaya.

Menurut Aryn Sharnaz Rashdi, Ketua Pegawai Operasi, Tala Records Asia, “Pamungkas bukan sahaja seorang komposer yang berbakat malah memiliki aura yang kuat di atas pentas. Dengan teknik vokal yang tersendiri ditambah pula dengan gayanya yang ‘stylish’, Pamungkas punyai pakej lengkap yang amat istimewa. Walaupun saya agak terkejut dengan sambutan hebat yang diberikan, setelah saya fikirkan semula, ia agak ‘natural’. Sebagai penganjur, kami sangat berpuas hati”.

Pamungkas lakar sejarah tersendiri di hadapan ribuan peminatnya

Selama satu setengah jam, Pamungkas dan kumpulan pemuziknya tidak henti-henti mengalunkan lagu-lagu yang menjadi pujaan peminatnya, terutama sekali lagu-lagu ‘viral’ yang telah menaikkan namanya. Kadangkala dia berseloroh dan ternyata Pamungkas juga turut terhibur dengan gelagat audiens Malaysia yang amat ‘sporting’.

“Nama saya menjadi bualan ramai kerana lagu To The Bone dan kemudian, peminat muzik mula mendengar lagu-lagu saya yang lain. Album ‘Birdy’ saya tulis ketika dunia bermurung akibat pandemik. Saya juga ketika itu melalui satu fasa dalaman yang begitu sukar. Saya luahkan semuanya dalam album ini dan menamakannya ‘Birdy’. Ia mungkin agak keanak-anakan namun perkataan ‘Birdy’ itu melambangkan kebebasan dan satu perasaan yang saya definisikan sebagai ‘Day 1 attitude’. Walaupun sudah menghasilkan 3 album sebelum ini, ‘Birdy’ memberikan saya satu perasaan yang saya tidak tahu apa-apa dan masih banyak yang perlu saya belajar. Ianya mungkin album saya yang paling peribadi dan ‘raw’.” kata Pamungkas.

Sejak melancarkan album pertama ‘Walk the Talk’ pada tahun 2018, dan seterusnya melancarkan ‘Birdy’ pada 16 Jun 2022, album keempat ini nampaknya bakal membawa Pamungkas sebagai artis global.

“Saya bersyukur sekali dengan kejayaan ini dan amat berterima kasih kepada semua peminat-peminat terutamanya di Malaysia. Saya sama sekali tidak menyangka sambutan yang sebegini hebat. Teruskan menyokong perjalanan seni saya dan saya berjanji akan kembali semula ke Malaysia untuk menghiburkan semua” ujar Pamungkas selepas konsert.

Pamungkas hiburkan lebih 3,000 peminatnya
Pamungkas dalam siri konsert jelajah ‘Birdy’ Asia Tenggara