May 22, 2024

KUALA LUMPUR – Tidak ada yang lebih kacau bilau apabila mendengar empat kugiran dengan pengaruh mereka masing-masing akan bermain di atas satu panggung!

Empat kugiran itu, Hujan, Bunkface, Insomniacks dan Masdo akan bersatu ‘memecahkan panggung’, mendidihkan adrenalin sekali gus membuat jiwa-jiwa kalian kacau pada sebuah konsert yang dibawakan khas oleh MND Sport & Event Sdn Bhd.

Insomniacks

Masakan tidak kacau, baru mendengar empat nama kugiran ini akan bergabung di atas sebuah panggung pun sudah teruja, bagaimana pula kelak menyaksikan mereka menyampaikan rendisi lagu-lagu yang bukan asing menjadi halwa telinga.

Maka MND Sport & Event Sdn Bhd buat julung kalinya dengan berbesar hati menganjurkan Konsert Jiwa Kacau yang dijadualkan berlangsung pada 17 Jun 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam Selangor.

Masdo

Menurut Harith Daniel dari MND Sport & Event Sdn Bhd, idea penganjuran Konsert Jiwa Kacau terhasil untuk menaikkan lagi imej industri muzik negara dengan terus mengangkat pemuzik generasi muda yang punya bakat dan kualiti baik yang tidak boleh diabaikan.

Harith (tiga dari kiri) bersama artis yang terlibat dalam Konsert Jiwa Kacau

“Penganjuran Konsert Jiwa Kacau dengan memilih kugiran Hujan, Bunkface, Insomniacks dan Masdo sebagai line-up adalah lambang apresiasi kami terhadap femonena yang dicetuskan kugiran ini dalam genre masing-masing.

“la juga penting untuk kami menyampaikan kepada generasi baharu atau Gen Z untuk jangan pernah berhenti memberi sokongan kepada pemuzik lokal kerana kualiti yang ada pada mereka.

“Marilah kita menjiwai seni muzik yang dihasilkan oleh keempat-empat kugiran ini menerusi Konsert Jiwa Kacau yang akan dilaksanakan pada 17 Jun ini di Stadium Malawati, Shah Alam,” ujar Harith Daniel selaku Ketua Pegawai Eksekutif MND Sport & Event.

Hujan

Menyifatkan Hujan, Bunkface, Insomniacks dan Masdo sebagai kugiran yang tidak pernah dan akan ditelan zaman lewat karya-karya yang dihasilkan, Harith juga percaya Konsert Jiwa Kacau akan membuat peminat mereka ‘gila’.

“Tidak boleh dinafikan, Hujan dan Bunkface adalah dua kugiran anak-anak indie yang memecah tembok komersial dengan kualiti mereka sehingga menjadi legenda dalam scene Indie di Malaysia.

“Insomniacks dan Masdo pula merupakan salah satu kugiran pop dan rock yang meraih pengaruh paling pantas dalam kalangan generasi muda lewat keunikan genre yang dimainkan.

“Jadi apabila keempat-empat kugiran yang penuh dengan lagu-lagu hit dan jalan cerita tersendiri ini bergabung, pihak kami percaya peminat akan ‘naik gila’. Dan harapan kami agar konsert ini memberi impak yang besar selain mencipta gelombang baru untuk industri muzik Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu Bunkface menyifatkan Konsert Jiwa Kacau sebagai sebuah lamaran ‘gila’ yang datang tepat waktu dan tidak patut dilepaskan.

Bunkface

Pemilik lagu-lagu hit seperti Malam Ini Kita Punya, Situasi, Dunia Baru dan Masih Di Sini, itu sangat teruja untuk melihat projek empat kugiran tersebut menjadi realisasi pada 17 Jun nanti.

“Beritahu kami siapa yang sanggup lepaskan peluang ‘berperang’ dan berpesta dengan Hujan, Insomniacks dan Masdo? Mereka semua ‘gila’!

“Dan Konsert Jiwa Kacau sebenarnya menjadi sebuah penghormatan buat kami bagaimana karya pemuzik lokal seperti kami diktiraf dan terus disokong untuk memartabatkan industri muzik kita,” ujar Youk selaku wakil Bunkface.

Insomniacks membuat persembahan sewaktu sidang media

Bagi Insomniacks yang membuat peminat ‘kacau’ lewat lagu mereka seperti Kepala Batu, Langgar dan Pulang, berkongsi panggung dengan tiga legenda muzik tempatan adalah mimpi yang menjadi realiti.

“Sebagai pemuzik paling junior dalam kelompok konsert ini, Insomniacks berasa sangat kecil tetapi berbesar hati kerana dipilih melengkapkan formasi panggung bersama Hujan, Bunkface dan Masdo yang terlebih dahulu merintis jalan untuk pemuzik seperti kami hidup dalam industri,” kata Insomniacks.

Tiket Konsert Jiwa Kacau bermula dengan CAT 3 (RM 75), CAT 2 dan General (RM 165), CAT 1 (RM 235), VIP (RM 255) dan Meet & Greet Pass (RM 488) mula dijual pada 24 Mac 2023 melalui www.myticket.asia.

Untuk itu buat semua peminat, in adalah sebuah pesta yang tidak wajib dilepaskan kerana kalian akan menyesal seumur hidup! Bila lagi mahu melihat Hujan, Bunkface, Insomniacks & Masdo satu pentas. Hanya ada pada Konsert Jiwa Kacau. Jumpa anda semua di sana!