May 16, 2024

KUALA LUMPUR – Festival NUSA FEST tinggal beberapa hari sahaja lagi, 8 dan 9 Julai ini bakal menyaksikan 24 kumpulan dari Indonesia, Singapura dan semestinya Malaysia beraksi di Bandar Malaysia bermula pukul 12 tengah hari hinggalah ke 12 malam.

Selepas pengumuman bahawa Search, Wings dan Butterfingers bakal menjadi headliner di NUSA FEST, ramai yang semakin merasai kehangatan festival muzik yang dibawakan oleh Shiraz Projects.

Malah kumpulan-kumpulan dengan pengikut setia seperti Fourtwnty, Barasuara, The Pinholes, Masdo, Gerhana Skacinta dan Iqbal M (antaranya) turut memeriahkan suasana NUSA FEST.

Lebih menarik lagi, NUSA FEST turut membawakan kepada peminat muzik dan kulinari (khususnya) PASAR NUSA yang akan memberikan kepelbagaian produk buat para pengunjung.

PASAR NUSA yang akan diadakan di hanger Bandar Malaysia akan menghadirkan 80 penjual kraf dan seni yang pastinya kena dengan selera pengunjung kelak. PASAR NUSA merupakan sebuah kolaborasi bersama RIUH, sebuah platform kurasi kreatif yang mengetengahkan barangan dan bakat kreatif tempatan sejak tahun 2017. Pihak Shiraz Projects amat berterima kasih atas sokongan RIUH dan teruja dengan kerjasama ini bagi meningkatkan pengalaman NUSA FEST untuk pengunjung festival.

RIUH adalah inisiatif di bawah Kumpulan MyCreative Ventures yang menghubungkan komuniti kreatif dengan orang ramai melalui himpunan para usahawan kreatif dan penggiat-penggiat seni tempatan daripada pelbagai cabang industri kreatif termasuk muzik, seni persembahan, kandungan kreatif, sastera, seni reka, seni kebudayaan dan tradisional, seni kulinari, seni visual, fesyen dan pendidikan kreatif.

RIUH adalah satu inisiatif dalam usaha untuk melonjakkan industri kreatif Malaysia dengan merancakkan lagi pembangunan sosio-ekonomi industri kreatif negara melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan seperti kedai ‘pop up’, bengkel kreatif, pameran dan persembahan langsung.

“Ini merupakan kali pertama RIUH bekerjasama dengan NUSA FEST untuk mengurus peruncit yang unik. PASAR NUSA akan mempunyai produk dan vendor yang dipilih secara eksklusif oleh RIUH. RIUH dan NUSA FEST sejajar dalam misi kami untuk membantu menyediakan platform untuk ekonomi kreatif. PASAR NUSA dipilih susun oleh RIUH manakala Waknat pula menjadi penyusun atur untuk WARONG NUSA,” ujar Shirazdeen Karim yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects.

Substage juga turut disediakan di PASAR NUSA dengan persembahan akustik dari A.limin, Kolar Hijau, Motherwit, Satwo dan Teman Lelaki . Manakala ruangan DJ set pula memberikan halwa telinga dari Awyn, Emai, Killah Z, MMK, S.Shahrin, Velvet, Wakmy dan Wayne.

Selain itu, Warong Nusa turut menyediakan sekitar 60 warung makanan dan minuman. Ini termasuk vendor-vendor terkenal tempatan seperti Kopi Dua Darjat, Minuum KL, Laiyan KL, Miker Pizza, Sloopyan Hotdog, Nachoslah Global dan pencuci mulut seperti Kelava dan The Gorpis. Buat peminat makanan dan minuman Nusantara, NUSA FEST turut membawakan hidangan dari Indonesia khusus buat pengunjung. Terdapat 20 trak makanan untuk dinikmati bersama.

Oleh itu, dalam berhibur bersama penyanyi-penyanyi serta kumpulan kesayangan ramai, mari bersama-sama membantu menjana ekonomi peruncit tempatan dan nusantara serta menghargai produk bersama.

NUSA FEST 2023 akan diadakan selama dua hari pada 8 dan 9 Julai ini bertempat di Bandar Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur, bermula jam 12 tengahari sehingga 12 malam. Tiket-tiket boleh didapati di laman sesawang www.myticket.asia atau hubungi di talian 03 8605 0196 / 012 2560082. Untuk maklumat lanjut tentang RIUH sila layari www.riuh.com.my atau ikuti @riuhinthecity di Instagram dan Facebook.