Kumpulan Rock Melissa Kembali Bersatu Rai Ulang Tahun Ke-35 Di Johor Bahru

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2025 – Kumpulan rock legenda tanah air, Melissa, bakal menggegarkan pentas sempena konsert ulang tahun ke-35 mereka yang dijadualkan berlangsung di The Colosseum Rooftop City Plaza, Johor Bahru, pada Sabtu, 28 Jun 2025 jam 9.00 malam. Konsert bersejarah ini dianjurkan oleh Aliffbumirock Production dan Island Hous.

Lebih istimewa, konsert ini menyaksikan gabungan semula empat anggota asal Melissa iaitu Mohamed Ali (Aliff), Fariz Ahmad (Fareez Undertaker), Mohamed Nor Razak (Ajak Melissa) dan Samsul Kamal Mohd Zain (Ancoy) selepas sekian lama membawa haluan masing-masing.

 

Menurut Ajak, pengasas dan ketua kumpulan Melissa, beliau amat teruja dan bersyukur dapat menyatukan kembali anggota asal kumpulan yang pernah mencetus fenomena dalam industri muzik tanah air pada era 90-an.

“Walaupun tidak semua anggota asal dapat bersama, saya tetap bersyukur kerana konsert ini menjadi medan penyatuan semula. Ia bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah penghargaan kepada perjalanan muzik kami selama tiga dekad setengah,” ujar Ajak ketika ditemui media di Power House Musical Studio malam tadi.

Ajak Melissa

Ajak yang kini aktif sebagai pencipta kandungan di media sosial turut menubuhkan Melissa Band pada 2023 sebagai kesinambungan legasi muzik Melissa. Band baharu ini menampilkan pemuzik muda seperti Black (dram) dan Kyoji Sky (gitar/keyboard), namun jelas Ajak, Melissa dan Melissa Band adalah dua entiti yang berbeza.

Dari kiri: Kyoji Sky (gitar/keyboard), Fareez Undertaker (gitar), Ajak (Bass) dan Black (dram)

“Melissa Band adalah jenama perniagaan dan platform kandungan saya di YouTube. Saya tidak mahu gunakan nama Melissa sesuka hati kerana masih menghormati anggota asal,” jelasnya.

Sementara itu, Fareez Undertaker, pemain gitar Melissa, menyatakan sokongan penuhnya terhadap usaha Ajak menyatukan semula anggota asal kumpulan.

“Kami bermula di selatan tanah air, dan Johor Bahru memang lokasi paling sesuai untuk konsert ini. Sambutannya luar biasa sejak awal kami membuat rakaman album di Singapura dan lagu-lagu kami popular di radio-radio sekitar sana,” kata Fareez.

Fareez Undertaker

Konsert ini tercetus hasil cadangan Aliff, vokalis terakhir Melissa yang menggantikan Allahyarham Ustaz Razi selepas pengunduran beliau selepas album kedua Kami Mat Rock pada tahun 1991. Aliff, yang juga merupakan penggerak projek Bumi Rock sejak empat tahun lalu, menyatakan bahawa idea tersebut telah disambut baik oleh Ajak dan mendapat sokongan daripada anggota asal Melissa yang lain.

“Kami bukan pernah berpecah secara rasmi, cuma masa dan komitmen masing-masing memisahkan kami. Konsert ini peluang untuk kami kembalikan nostalgia dan meraikan legasi Melissa,” tambah Fareez lagi.

Konsert ulang tahun ini turut akan menampilkan kolaborasi antara Melissa dan Melissa Band, menyaksikan gabungan tenaga pemuzik generasi lama dan baharu. Sky, antara tulang belakang muzik konsert ini, akan menjadi pemuzik undangan istimewa.

Bagaimanapun, tidak semua bekas anggota seperti Ozzi dan Keff terlibat dalam konsert kali ini atas sebab peribadi dan perbezaan pendapat.

“Saya hormat semua bekas anggota Melissa. Tetapi setiap keputusan dibuat berdasarkan kesepakatan dan perancangan rapi demi memastikan kelangsungan perjuangan muzik Melissa,” jelas Ajak.

Fareez turut menyentuh mengenai cabaran dalaman dahulu yang menyebabkan perubahan barisan anggota, termasuk konflik ketika penghasilan album kedua dan ketiga. Namun beliau menegaskan, keputusan yang diambil ketika itu dibuat secara profesional demi kemajuan kumpulan.

Konsert ulang tahun ke-35 Melissa dijangka menjadi momen penuh emosi dan sejarah buat peminat tegar kumpulan ini, menghidupkan semula semangat rock yang pernah menggegarkan arena muzik tanah air sejak 1990.

Dalam konsert yang bakal diadakan nanti, mereka akan membawakan lagu-lagu dari kesemua album Melissa. Kumpulan Spellbound dari selatan tanah air dan kumpulan Ozon dari utara tanah air juga turut dijemput untuk pembuka tirai untuk konsert ini.

Dengan struktur pentas yang spektakuler di lokasi unik atas bumbung bangunan terbuka, para penonton berpeluang menghirup udara segar sambil menikmati alunan muzik daripada barisan pemuzik legenda. Konsert ini bukan sahaja bakal menggegarkan pentas, malah turut menyentuh jiwa setiap yang hadir.

Harga tiket konsert ditetapkan pada kadar purata RM120.00 dan boleh dibeli menerusi pautan rasmi di laman berikut: https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSesc_VXeng6sWPVHf1YRvkzrc9qX WG9POEWyPwK3mF9wCo3ZQ/viewform?embedded=tru

Untuk kemudahan anda, pembeli tiket boleh mengimbas QR code di bawah.