January 14, 2025

PETALING JAYA – Dunia muzik rock tempatan terus dirancakkan dengan kehadiran kumpulan baharu, Waris, yang diterajui oleh gitaris legenda, Man Keedal. Menurut Man Keedal, penubuhan kumpulan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mewariskan karya-karya hebat kepada generasi baharu, sekaligus memperkukuh kesinambungan muzik rock tempatan.

“Saya lihat ini sebagai satu bonus buat saya kerana dapat membentuk sebuah band bersama cucu saya, Adam, anak didik Allayarham Samad Lefthanded, Yunos dan anak angkat saya, Daniel. Mereka ini pelapis generasi yang bakal mewarisi karya-karya saya,” kata Man Keedal ketika ditemui di studio miliknya di Kota Damansara, baru-baru ini.

Man Keedal

Selain Adam dan Daniel, Waris turut disertai penyanyi berbakat besar, Fuad Rahman, yang dikenali ramai menerusi program Gegar Vaganza. Pemilihan Fuad, menurut Man Keedal, adalah berdasarkan pengalaman serta keupayaannya membawa elemen metal yang menjadi identiti baharu kumpulan ini.

“Fuad bukan sahaja seorang penyanyi yang hebat, tetapi dia juga peminat tegar Lefthanded. Itu melengkapkan lagi elemen yang saya mahu dalam Waris, iaitu kesinambungan tradisi dengan suntikan elemen baharu seperti metal,” jelas Man Keedal.

Fuad Rahman

Tower of Rock: Inspirasi Menara Kuala Lumpur

Konsert Tower of Rock, yang akan berlangsung pada 25 Januari 2025 di Menara Kuala Lumpur menampilkan gabungan luar biasa kumpulan legenda rock tanah air, Barbarik dan Cromok, bersama kumpulan pelapis baharu, Waris.

Anjuran Menara Kuala Lumpur dengan kerjasama FAR Worldwide, konsert ini bakal mengetengahkan pelbagai genre muzik, dari rock klasik hingga thrash heavy metal. Projek ini juga disokong oleh Persatuan Sukan, Rekreasi & Kesihatan Kuala Lumpur (SU.RE Sihat KL) sebagai rakan rasmi CSR, serta tajaan jenama kecantikan, FARMASI.

Waris juga mencipta sejarah apabila mempersembahkan projek sulung mereka di Tower of Rock, sebuah konsert yang diadakan di Menara Kuala Lumpur. Menurut Man Keedal, pemilihan lokasi ini melambangkan aspirasi tinggi kumpulan tersebut.

“Tower of Rock bukan sekadar nama, tetapi simbolik kepada kedudukan muzik rock di tahap tertinggi. Saya bertanggungjawab sepenuhnya sebagai penerbit dan penganjur konsert ini, dan kami berjaya membawa nama besar seperti Cromok dan Barbarik ke pentas ini,” kata beliau.

Konsert berdurasi tiga jam ini dijangka unik dengan pelbagai segmen menarik, termasuk gabungan tiga pemain dram daripada Barbarik, Cromok, dan Waris di satu pentas. Man Keedal juga bakal membuat persembahan instrumental bersama Jo Branko dan Karl, membawa medley lagu-lagu dari ketiga-tiga kumpulan.

Isu Pemain Gitar Edane dan penangguhan ROXtheNATION

Dalam pada itu, Konsert Tower of Rock juga menggantikan Konsert ROXtheNATION yang terpaksa ditangguhkan akibat isu teknikal. Konsert ROXtheNATION, yang dirancang mempertemukan band rock Malaysia dan Indonesia, termasuk Edane, akan diumumkan semula tarikhnya kelak.

Mengulas ketiadaan pemain gitar terkenal Indonesia, Eet Sjahranie dari kumpulan Edane, Man Keedal menjelaskan ia berpunca daripada isu teknikal berkaitan permit. Walau bagaimanapun, beliau optimis untuk merealisasikan impian berkolaborasi dengan Edane selepas musim perayaan.

Eet Sjahranie

“Kami memang sudah lama impikan kerjasama ini, sejak tahun 90-an lagi. Namun, ia hanya ditangguhkan, bukan dibatalkan. Menara Kuala Lumpur sendiri menyokong penuh rancangan ini,” katanya.

Misi Waris ke Peringkat Antarabangsa

Dalam pada itu, Man Keedal menekankan bahawa misi utama Waris adalah untuk membawa muzik mereka ke tahap antarabangsa. Beliau menekankan pentingnya inovasi dan teknologi terkini dalam menghasilkan muzik yang relevan dengan generasi baharu.

“Industri muzik kita memerlukan pelapis, kita perlu bergerak ke hadapan dengan teknologi seperti sistem bunyi hibrid dan konsep konsert yang canggih. Pada masa yang sama, elemen kemelayuan dan tradisi akan tetap menjadi tunjang Waris,” ujar beliau.

Fuad Rahman

Fuad Rahman turut meluahkan rasa syukurnya dapat menjadi sebahagian daripada Waris. “Saya bawa lagu Lefthanded dengan penuh penghormatan kepada abang Man dan Dato’ Nash. Waris ini bukan sekadar band, tetapi simbol legasi yang akan diteruskan,” katanya.

Dengan kehadiran Waris, peminat rock tanah air boleh menjangkakan satu fenomena baharu yang menjanjikan kualiti muzik yang mampu bersaing di peringkat global.

Tiket dan Sokongan Komuniti

Promosi konsert dikendalikan oleh Mewah Event Management, manakala pengurusan tiket oleh Ilasso Tickets. Tiket berharga RM188 (Silver), RM288 (Gold), dan RM388 (VIP) boleh didapati di www.ilassotickets.com.

Sebahagian hasil jualan tiket, sebanyak lima peratus, akan disumbangkan kepada SU.RE Sihat KL untuk menyokong kempen kesihatan bertemakan Rock SU.RE Sihat, yang menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan penduduk ibu kota.

Harapan untuk Legasi Rock

Man Keedal turut berkongsi harapan agar konsert ini menjadi simbol legasi rock tanah air yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Man Keedal dan Fuad menubuhkan kumpulan Waris

“Rock tidak pernah mati. Tetapi untuk kekal relevan, kita perlu mencipta karya yang bukan sahaja mengekalkan elemen tradisional, tetapi juga membawa elemen segar untuk generasi baharu. Tower of Rock adalah permulaan untuk mencapai standard itu,” katanya.

Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah pertembungan antara legenda dan pewaris, melakar sejarah baharu untuk muzik rock Malaysia.