December 6, 2024

KUALA LUMPUR – Keberadaan seorang Kunto Aji, penulis kreatif dan penyanyi penuh rasa berasal Yogyakarta, Indonesia memang senantiasa dinanti-nantikan. Melihatkan nama Kunto Aji seperti ‘digugurkan’ dalam senarai Nusafest telah menimbulkan pelbagai respon peminat. Ada yang marah dan ada yang sedih.

Bukan kemahuan fikiran sebaliknya kerana kesibukan jadual kerja dan pementasan figura disapa dengan nama Mas Kun ini membuatkan penyanyi hebat ini tidak dapat beraksi dalam festival Nusafest tersebut yang dijadualkan pada 8 dan 9 Julai ini. 

Kunto Aji

Jangan melatah dulu dengan segala emosi. Atas rasa tanggungjawab melunaskan kerinduan pada Kunto Aji yang sebelum ini dibawakan oleh Shiraz Projects di Dewan Filharmonik Petronas, pihak Shiraz sekali lagi berasa perlu membawa sosok penuh seni ini buat tatapan dan pendengaran peminat di Malaysia. 

Dibawakan oleh Shiraz Projects di bawah payung “Nusafest Presents”, Kunto Aji akan beraksi di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Ogos ini, jam 8.30 malam

Inilah masanya untuk peminat yang terlepas menonton Kunto Aji kerana faktor kapasiti lokasi, untuk sama-sama menghayati dan menyanyi lagu-lagu tulisan dan nyanyiannya  yang menjadi mantera untuk sama ada merawat emosi atau melayan lara di dalam dada.

Kali kedua beraksi di Malaysia, inilah masanya yang tidak patut dilepaskan untuk sama-sama berada dalam sejarah Kunto Aji di Zepp Kuala Lumpur pula. 

Untuk pemegang tiket Nusafest, penjualaan tiket khas “Presale” akan diadakan pada Isnin, 19 Jun 2023. Tiket-tiket umum Nusafest Presents Kunto Aji mula dijual hari Selasa, 20 Jun 2023 bermula pukul 2 petang di www.myticket.asia. Peminat-peminat boleh mendapatkan tiket-tiket pada harga RM225 (Platinum), RM 275 (Diamond & Silver), RM325 (Gold) dan RM600 untuk sesi Meet & Greet. 

Selepas kejayaan kemunculan perdana Kunto Aji di Kuala Lumpur dengan penjualan tiket habis dalam masa 30 minit, pihak penganjur iaitu Shiraz Projects merasakan ini merupakan masa yang sesuai untuk menampilkan Kunto Aji yang menjadi kegilaan ramai di Indonesia dan  Malaysia sekali lagi di Kuala Lumpur. 

“Kami sangat bersyukur dan teruja dengan sokongan yang diberikan oleh para peminat terhadap kemunculan Kunto Aji yang pertama dahulu. Untuk kemunculan kedua, kami dengan bangganya mempersembahkan Kunto Aji yang kami rasakan sangat sesuai beraksi di Zepp Kuala Lumpur. Muzik Kunto Aji yang berkualiti dan melodinya pastinya akan membuat ‘pecah’ suasana Zepp, “ ujar Shirazdeen Karim, Ketua Pegawai Eksekutif, Shiraz Projects.

Kunto Aji yang pernah muncul dengan album Generation Y (2015) dan Mantra Mantra (2018) akan membawakan lagu-lagu hitsnya dan enaknya berkumandang. Pastinya khalayak menantikan lagu Pilu Membiru yang dianggap sebagai sebuah lagu ‘stage of grief’ (tahap kesedihan) seperti yang tertulis dalam ilmu psikologi.

Lelaki yang pernah memenangi anugerah Breakthrough Artist of the Year di Indonesian Choice Awards 2015 dan Anugerah Album Terbaik-Terbaik serta Artis Solo Pria/Wanita Alternatif Terbaik di Anugerah Musik Indonesia 2019 bakal muncul dengan band yang diterbangkan khas dari Indonesia.Tiket-tiket prajualan untuk pemegang tiket Nusafest boleh diperolehi mulai 19 Jun ini  di www.myticket.asia. Penjualan tiket umum akan berlangsung pada 20 Jun 2023.