September 8, 2024

KUALA LUMPUR – Lagu-lagu dari filem-filem tahun 1950an kini telah menjadi sebuah irama klasik yang semakin jarang didengari oleh masyarakat umum, apatah lagi generasi muda. Namun irama sebegini masih mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Kini, syarikat Big Sound Event di bawah pengurusan Ashraff Goodman telah mengambil inisiatif untuk mengembangkan gubahan muzik irama klasik dari filem tahun 1950 hinggalah ke tahun 1959 dan membawakannya di dalam bentuk fusion jazz. Persembahan yang di beri nama FUSION ALUN LAYAR akan dipersembahkan pada Sabtu 7 Oktober 2023, bermula jam 8.30 malam di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Fusion Alun Layar akan menggandingkan penyanyi dan pelakon Aqasha dan Asmidar serta penampilan istimewa Datuk Hajah Fauziah Nawi yang bertindak sebagai pencerita di dalam persembahan ini. Gubahan muzik yang menggabungkan elemen-elemen tradisional dan moden di dalam genre fusion jazz ini mendapat sentuhan Prof. Madya Khairil Anwar Dean yang akan bertindak sebagai Pengarah Muzik.

Lagu-lagu dari filem Aloha dan Insaf (arahan B.S Rajhans), Juwita dan Sedarah (arahan S. Ramanathan), Hujan Panas (arahan B.N Rao), Ribut (arahan K.M Basker) dan banyak lagi, kini diberikan nafas baharu adalah merupakan sebuah penghargaan kepada komposer-komposer pada zaman itu dan lagu-lagu mereka itu telah menjadi sebuah warisan negara.

Asmidar
Aqasha

“Bukanlah kami hendak menidakkan kehebatan muzik pengkarya-pengkarya seperti Osman Ahmad, Zubir Said atau Ahmad Jaafar, cuma kami ingin membuktikan bahawa melodi-melodi indah mereka sebenarnya sangat versatile dan tidak lekang dek zaman. Ianya pasti akan menjadi sebuah apresiasi dan inspirasi kepada generasi muda” ujar Ashraff Goodman.

penampilan istimewa Datuk Hajah Fauziah Nawi

Tiket untuk menyaksikan persembahan Fusion Alun Layar ini berharga RM100. Namun jika anda cepat, anda akan dapat membeli tiket Early Bird yang berharga RM80.

Persembahan ini mendapat kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan di sokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.