KUALA LUMPUR – Lagu legenda ‘Penantian’ yang pernah menjadi fenomena pada zamannya kini kembali dengan susunan muzik lebih segar dan kontemporari, dinyanyikan semula oleh penyanyi berbakat besar, Lah Ahmad. Lagu ini yang pada asalnya diterbitkan pada tahun 1981 merupakan ciptaan sepenuhnya oleh komposer ternama Zubir Ali, yang juga merupakan anggota kumpulan Harmoni.
‘Penantian’ dikenali dengan melodi mendalam dan liriknya yang puitis serta menyentuh hati. Lagu ini menggambarkan perasaan rindu dan penantian yang penuh harapan, menjadikannya antara karya yang kekal relevan sepanjang zaman. Dengan nafas baharu yang diberikan oleh komposer terkenal, Azmeer, ‘Penantian’ diolah dengan sentuhan muzik lebih moden agar sesuai dengan selera generasi kini.

Lah Ahmad, penyanyi dan komposer yang memulakan perjalanan seninya sebagai anggota kumpulan Voice of Euphonious (V.E) pada tahun 1999, dikenali dengan genre R&B dan pop. Selain kejayaannya bersama V.E., Lah juga pernah menganggotai kumpulan Al-Maulid yang memberi fokus kepada muzik bercorak nasyid. Pada tahun 2014, beliau memulakan kerjaya solonya dengan menerbitkan album pertama yang membawa konsep kerohanian dalam irama R&B dan soul. Hingga kini, beliau telah menghasilkan empat album solo yang memperlihatkan evolusi seni dan keunikan vokalnya dalam industri muzik.
“Lagu ‘Penantian’ bagi saya adalah sebuah lagu yang semakin didengar semakin indah dan menggenggam jiwa,” ujar Lah Ahmad, menggambarkan perasaannya terhadap lagu ini yang begitu dekat di hatinya.
Versi terbaru ‘Penantian’ diharapkan mendapat sambutan baik dalam kalangan generasi muda serta mendapat tempat di media radio dan televisyen. Dengan susunan muzik yang lebih segar, lagu ini berpotensi untuk menghidupkan kembali memori generasi terdahulu serta memperkenalkannya kepada peminat muzik baharu.

Usaha menerbitkan semula lagu ini adalah sebahagian daripada projek mega ‘100 Lagu 100 Tahun’, yang merupakan inisiatif mengumpul dan menghidupkan kembali khazanah seni penting negara. Projek ini merangkumi penerbitan semula 100 lagu terbaik dalam sejarah muzik Melayu sepanjang satu abad, yang dipersembahkan dalam bentuk audio, visual serta sebuah buku meja kopi eksklusif. Dengan tujuan utama untuk mendokumentasikan dan mempersembahkan semula karya-karya indah yang pernah memberi kesan mendalam dalam sejarah muzik tanah air, projek ini diharap dapat menjadi rujukan dan warisan berharga bagi generasi akan datang.
Kehadiran kembali ‘Penantian’ dalam bentuk baharu ini bukan sahaja sebagai penghormatan kepada karya asalnya, tetapi juga sebagai bukti bahawa muzik berkualiti tinggi tetap abadi dan mampu merentasi zaman.