Lagu Raya dengan sentuhan seram? ZUS Coffee tampil dengan “Cerita Malam Raya”

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Raya, ZUS Coffee mempersembahkan kempen khas bertajuk Sembang-Sembang Dengan ZUS, yang mengajak rakyat Malaysia untuk mengutamakan perbualan bermakna bersama orang tersayang. Sebagai nadi utama kempen ini, lagu “Cerita Malam Raya” dilancarkan bagi menggalakkan masyarakat mengetepikan telefon bimbit dan menikmati detik-detik istimewa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Lagu ini merupakan hasil kerjasama antara ZUS Coffee, Faithful Music, Loko Films, Luqman Podolski, dan Zeppo Youngsterz Crew. Dengan gabungan elemen komedi dan seram, “Cerita Malam Raya” mengisahkan tentang keluarga yang berkumpul pada malam Raya dan mengalami pengalaman menyeramkan yang mencuit hati. Inspirasi lagu ini datang daripada tradisi filem seram Hari Raya dan perbualan larut malam yang sering mencetuskan pelbagai kisah mistik dalam kalangan keluarga dan sahabat handai.

Menurut Pengarah Kreatif ZUS Coffee, Shafiqah Othman, projek ini bertujuan untuk menghidupkan kembali kemeriahan perayaan melalui interaksi sebenar. “Cerita Malam Raya mengingatkan kita tentang keindahan perbualan tanpa gangguan teknologi. Kami amat berbangga dapat berkolaborasi dengan bakat tempatan seperti Luqman, Faithful Music, Loko Films, dan Zeppo Youngsterz Crew kerana kolaborasi sebegini mampu menghasilkan karya yang dekat di hati masyarakat,” katanya.

Luqman Podolski

Luqman Podolski, yang turut menyumbangkan vokal dalam lagu ini, menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan ZUS Coffee sebagai sesuatu yang berharga. “Susunan muzik oleh Faithful Music membangkitkan semangat perayaan, manakala seni tari Zeppo Youngsterz Crew benar-benar menggambarkan kemeriahan malam Raya,” katanya. Beliau juga menambah bahawa gabungan unsur seram dalam lagu ini memberikan kelainan yang jarang dilihat dalam lagu-lagu Raya. “Hantu-hantu dalam video muzik ini memang menyeramkan! Saya harap semua terhibur dengan hasil karya ini seperti mana kami seronok dalam proses pembikinannya.”

Sebagai sebahagian daripada kempen ini, ZUS Coffee turut berkolaborasi dengan Projek Sembang-Sembang, sebuah kolektif seni tempatan yang terkenal dengan karya nostalgia dan ekspresif. Kolaborasi ini melibatkan rekaan eksklusif pada produk dan pembungkusan, memberikan sentuhan unik kepada kempen ini.

Selain video muzik dan pembungkusan khas, ZUS Coffee juga melancarkan pelbagai promosi sempena Ramadan dan Raya. Antaranya termasuk diskaun untuk Bottled Necessity 1L bagi kegunaan berbuka puasa serta pengenalan awal kepada Siri Jagung edisi Raya. Koleksi perayaan ini turut merangkumi Sampul Raya, Sticker Raya, Sembang Raya Keychains, dan ZUS Raya Card Game yang direka khas untuk mencetuskan perbualan bermakna ketika berkumpul bersama keluarga. Siri tumbler eksklusif pula hanya boleh didapati secara dalam talian.

Sebagai tambahan, ZUS Coffee turut mengajak rakyat Malaysia untuk menyertai Cabaran Tarian Cerita Malam Raya. Peserta boleh memuat naik video tarian mereka menggunakan lagu tersebut di TikTok dan menandakan ZUS Coffee bagi berpeluang memenangi kopi percuma selama setahun. Di samping itu, orang ramai juga digalakkan berkongsi pengalaman Raya mereka yang paling lucu atau menyeramkan menggunakan tanda pagar #SembangSembangDenganZUS.

Video muzik Cerita Malam Raya boleh ditonton di saluran rasmi ZUS Coffee di Instagram, TikTok, dan YouTube, atau melalui pautan https://youtu.be/BbxDOKXd5ic. Lagu ini juga boleh distrim di Spotify bagi dinikmati pada bila-bila masa.

Melalui kolaborasi ini, ZUS Coffee terus membuktikan komitmennya dalam menyokong bakat tempatan serta meraikan penceritaan dan budaya Malaysia. Projek ini bukan sahaja mencerminkan kemeriahan Hari Raya tetapi juga menonjolkan kepentingan hubungan dan komunikasi dalam membina kenangan yang bermakna.