May 6, 2024

KUALA LUMPUR – Lagu raya sudah menjadi elemen penting dan tidak dapat dipisahkan setiap kali tiba musim Syawal. Seiring dengan peredaran dan evolusi muzik semasa, lagu-lagu raya yang dihasilkan kini turut memenuhi citarasa dan selera peminat muzik kontemporari masa kini.

Tidak ketinggalan, Universal Music Malaysia (UMM) melancarkan empat lagu raya terbaharu yang benar-benar memukau. Antara lagu itu adalah daripada kumpulan SEARCH dengan lagu indah berjudul Sujud Aidilfitri, DeFam yang mempersembahkan Alamak Raya Lagi, sebuah lagu yang ceria, Ernie Zakri dengan lagu HAHAHAHari Raya yang mengundang gelak tawa, serta The Gadys yang membawa kita ke suasana Cuti Raya yang penuh kegembiraan.

Menariknya juga, lagu Alamak Raya Lagi dan HAHAHAHari Raya menjadi antara lagu raya 2024 yang paling tular selain muzik video mencecah jutaan tontonan di laman YouTube. Alamak Raya Lagi berjaya meraih 20 juta tontonan sepanjang sebulan ditayangkan dan HAHAHAHari Raya sebanyak 1.4 juta dalam tempoh tiga minggu.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Kim Lim berkata, lagu raya ini bukan sahaja mempunyai lirik jenaka dan melodi yang memikat, malah ia menunjukkan betapa rakyat Malaysia menyambut hari raya dengan penuh kegembiraan dan semangat.

“Video muzik yang kreatif dan menarik turut menyumbang kepada kejayaan lagu-lagu ini. la menggambarkan keunikan budaya dan tradisi kita yang dirai dengan penuh kehangatan dan keakraban.

“Tidak hairanlah lagu-lagu sebegini mampu mencuri tumpuan ramai dan menjadi sebutan seluruh negara. Sememangnya satu pencapaian yang mengagumkan dan menjadikan Hari Raya Aidilfitri kali ini lebih meriah dan bermakna,” katanya.

Selain itu, Universal Music Malaysia turut melancarkan Lagu Raya Raya Raya yang juga kolaborasi bersama Samsung yang dinyanyikan oleh Insomniacks dan DOLLA.

Dalam pada itu, bagi menambahkan lagi kemeriahan sambutan Syawal, Universal Music berbesar hati menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri Universal Music Malaysia 2024 Bersama Samsung yang diadakan di Hotel Le Meridien Petaling Jaya.

Pada majlis itu, barisan artis Universal Music Malaysia tidak ketinggalan menghiburkan tetamu yang hadir dengan dendangan lagu raya popular mereka. Antara yang terbabit alah Achik Asrain dan Nadia Rosli menerusi lagu Suasana Hari Raya; Fahimi (Angau Raya); The Gadys (Cuti Raya); Search (Sujud Aidilfitri); Joe Flizzow & Gard (Berlian); Bella Astillah (Meriah Suasana Hari Raya); Ernie Zakri (HAHAHAHari Raya); Insomniacks dan DOLLA (Raya Raya Raya).

Sementara itu, Universal Music Malaysia juga mengumumkan rakan kerjasama mereka dengan jenama elektronik dan telefon pintar yang terkenal dunia aitu Samsung. Kolaborasi menakjubkan ini menjanjikan pengalaman yang memukau kepada peminat muzik dan teknologi di seluruh dunia.