KUALA LUMPUR : Band punk rock tempatan yang menggelarkan diri mereka Trophy Knives melancarkan album terbaharu mereka berjudul Look The Other Way di kesemua platform digital bermula hari ini. Look The Other Way merupakan album kedua selepas meriliskan album pertama mereka pada tahun 2019 dengan tajuk Glass Ceiling.
Look The Other Way bakal menampilkan 9 buah lagu yang juga akan dipasarkan dalam bentuk fizikal (CD dan piring hitam atau vinyl). Album dalam format vinyl turut memuatkan single We Can’t Be Saved dengan menampilkan penyanyi jemputan Chris#2 dari band punk ikonik Amerika Syarikat, Anti-Flag, sebagai lagu bonus. Look The Other Way dianggap lebih kemas dari segi produksi serta padat dengan pelbagai faktor-faktor musikaliti yang membuktikan bahawa Trophy Knives amat serius dan mengambil berat bukan sahaja susunan melodi tetapi juga mesej yang disampaikan dalam setiap lagu.
Berbekalkan pengalaman berkolaborasi dengan pelbagai artis tempatan mahupun antarabangsa ketika dunia dilanda pandemik, Trophy Knives juga berdepan dengan pengunduran pemain bass mereka, Syamir Ali, kini Trophy Knives bagaikan melalui proses bersalin kulit dan mula bereksplorasi dengan elemen-elemen muzik yang baharu sebagaimana yang telah dihasilkan dalam album ini.
Trophy Knives yang berasal dari Kuala Lumpur, kini dianggotai oleh Vinesh M (vokalis), Sani Khalid (gitar utama) dan Ryan Lee Bhaskaran (dram).
Untuk menghangatkan lagi pelancaran album baharu ini, Trophy Knives bakal menganjurkan sebuah konsert khas di The Bee, Publika pada 16 September ini bersempena dengan Hari Malaysia. Buat pertama kali, Trophy Knives akan mempersembahkan kesemua lagu yang terkandung di dalam album Look the Other Way secara eksklusif.
Pada malam konsert punk rock tersebut, band Jemson yang sememangnya amat diminati ramai, band pop-punk An Honest Mistake dan trio yang dikenali sebagai Emo Night Kl turut bakal serta bagi menjayakan konsert itu nanti.
“Kami amat berbangga kerana dapat berkongsi pentas bersama rakan-rakan kami pada 16 September ini, yang juga merupakan band-band rock generasi baharu terbaik di Malaysia. Setelah bertahun kami berkecimpung di dalam industri ini, kami sedar bahawa muzik punk rock seringkali dianaktirikan dan tanpa band seperti Jemson, An Honest Mistake, Emo Night KL dan ramai lagi di luar sana melakukan pengorbanan yang besar serta berjuang untuk mengekalkan genre ini agar terus hidup di Malaysia.
“Kami amat terharu kerana dapat meraikan kejayaan ini bersama mereka, lebih-lebih lagi sudah agak lama kami tidak membuat persembahan bersama. Harapan kami agar semua peminat muzik turut hadir, bukan sahaja muzik punk atau pun muzik rock tetapi muzik adalah universal”, kata Ryan Lee.
Menurut vokalis Trophy Knives, Vinesh, beliau memilih Hari Malaysia untuk mengadakan konsert disebabkan kebanggaan sebagai anak Malaysia yang mahukan keharmonian negara terus berkekalan.
“Kami memilih Hari Malaysia untuk mengadakan konsert ini kerana kami berbangga menjadi anak Malaysia dan kami mahukan agar keharmonian negara ini terus kekal tanpa sebarang prejudis di antara kaum, agama dan kepercayaan. Di dalam setiap lagu kami terdapat mesej yang mendalam tentang hak-hak kemanusiaan dan kami percaya kita masih punyai harapan untuk membina sebuah negara yang ideal, maju dari segala segi dan juga bebas berkarya tanpa halangan yang tidak munasabah.
“Ianya mungkin agak berat tapi ia perlu dibincangkan. Namun Trophy Knives akan memastikan elemen hiburan tetap diutamakan. Itu amat penting kerana peminat-peminat kami sudah pasti mengharapkan sesuatu yang di luar jangkaan dari kami”, katanya.
Look The Other Way akan berada di semua platform strim pada hari ini dengan 9 buah lagu termasuk single Elder Snakesman, Look the Other Way, Smokescreen dengan penampilan penyanyi undangan khas, Nas dari kumpulan Plague Of Happiness dan juga High Horses.
Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket konsert Look the Other Way, anda boleh melayari laman sesawang https://trophy-knives.peatix.com
Video muzik Trophy Knives yang terbaharu berjudul Elder Snakesman kini sudahpun boleh ditonton di saluran YouTube Trophy Knives.