SHAH ALAM, 27 Mac 2025 – Drama fenomena Keluarga Itu terus mencipta kenangan bermakna apabila majlis iftar istimewa dianjurkan di LADO By The Lake, Shah Alam, semalam. Bersempena kempen Ramadan Raya Indahkan Memori, acara ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara peminat dan pelakon, tetapi turut memperkukuh promosi siri tersebut dalam suasana komuniti di RARA 2025.
Majlis eksklusif ini, yang didukung oleh Samsung, dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik. Bertemakan “Ramadan Bersama: Kasih dan Keberkatan”, acara dimulakan dengan persembahan lagu raya oleh Shahrul Kamal yang membangkitkan semangat perayaan. Suasana semakin meriah apabila para pelakon utama Keluarga Itu, termasuk Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Izara Aishah, Muaz Zabir, Puteri Balqis, dan Melissa Campbell, berinteraksi secara langsung dengan peminat melalui sesi permainan dan aktiviti interaktif.

Saat waktu berbuka menjelang, kehangatan kemesraan antara pelakon dan peminat semakin terasa. Kemudian, sebagai penutup majlis, duo adik-beradik Shiha Zikir dan Ida Zikir tampil menghiburkan hadirin dengan alunan lagu raya yang penuh nostalgia.
Sejak episod pertamanya ditayangkan pada 28 Februari lalu, Keluarga Itu telah mencetuskan pelbagai reaksi dan perbincangan hangat mengenai realiti institusi kekeluargaan, termasuk cabaran membesarkan kanak-kanak istimewa yang menghidap autisme. Selama 12 episod, drama ini bukan sekadar hiburan, malah menyentuh sisi gelap kehidupan sebenar, memperlihatkan pengkhianatan dalam keluarga dan penderitaan yang dialami oleh segelintir individu di dunia nyata.

Dalam majlis yang sama, Samsung turut memperkenalkan siri Keluarga Antara Insan di TikTok. Berlatarbelakangkan komuniti erat di Taman Antara Insan, siri 10 episod ini mengisahkan perseteruan kecil antara dua jiran, Dahlia dan Amir, yang akhirnya bertukar menjadi persahabatan penuh kasih sayang. Siri ini dibintangi oleh Muaz Zabir dan Puteri Balqis bersama Aleza Shadan dan Amirulhakim Lokman, dan akan disiarkan di akaun TikTok @samsungmalaysia dan @TV3Malaysia.
Bagi peminat Keluarga Itu dan Keluarga Antara Insan, pengalaman ini pastinya menjadi kenangan berharga yang akan dikenang selamanya, mencerminkan semangat Ramadan dan Syawal yang penuh keberkatan.