KUALA LUMPUR – Studio animasi terkemuka Malaysia, Les’ Copaque Production, yang terkenal menerusi kejayaan siri animasi popular Upin & Ipin, kini kembali dengan karya baharu berjudul Dongeng Sang Kancil. Filem ini bakal mencipta sejarah sebagai filem animasi tempatan pertama menggunakan teknik hibrid 3D dan kesan khas 2D, dengan tayangan perdana dijadualkan bermula 26 Disember 2024 di pawagam seluruh negara.
Dongeng Sang Kancil hadir tepat pada waktunya sempena musim cuti sekolah, menjanjikan pengalaman sinematik yang luar biasa. Selain penceritaan penuh keterujaan dan menyeronokkan, filem ini menampilkan visual berkualiti tinggi serta babak aksi mendebarkan.
Watak utamanya, Sang Kancil, yang terkenal dalam cerita rakyat tempatan sebagai simbol kepintaran, kini dihidupkan kembali di layar perak untuk generasi baharu. Filem berdurasi 90 minit ini mengisahkan perjalanan epik Sang Kancil dalam membela kematian ibunya yang dibunuh oleh bayang hitam. Dalam pengembaraannya, Sang Kancil berdepan cabaran daripada tiga pemangsa utama—Helang Perkasa, Gajah Belukar, dan Raja Buaya—sementara hutan rimba menjadi sasaran seterusnya bayang hitam yang penuh misteri.
Menurut Haji Burhanuddin Md. Radzi, Penerbit Eksekutif Dongeng Sang Kancil merangkap Pengasas dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, “Dongeng Sang Kancil adalah kisah rakyat berwajah baharu yang bertujuan menginspirasi dunia. Kami mengekalkan elemen unik Sang Kancil sebagai haiwan bijak dengan muslihat, namun kali ini, dia diangkat sebagai Wira Rimba yang menyelesaikan konflik lebih besar dan penuh emosi.”
Pelakon suara Nini Razali kembali membawa watak Sang Kancil, meneruskan peranannya sejak siri Pada Zaman Dahulu. Filem ini turut menampilkan penyanyi Amir Masdi yang pertama kali menjadi pelakon suara sebagai Harimau Kumbang, selain menyumbangkan dua lagu. Antara pelakon suara lain adalah Dinda Dania (Arnab), Loke Keng Sun (Sang Tupai), Md Fadzrian Ildzan (Gajah Belukar), Muhammad Hafiz Hassan (Helang Perkasa), dan Ahmad Razuri Roseli (Raja Buaya), yang juga bertindak sebagai pengarah filem.
Filem ini turut diserikan dengan lima lagu asli yang mengiringi babak-babak penting, termasuk ‘Dongeng Sang Kancil’, ‘Hoo La Hey’, ‘Nasib Buaya’, ‘Bayang Hitam’, dan ‘Dikir Harimau Kumbang’.
Trivia Dongeng Sang Kancil
1. Filem animasi pertama terbitan Les’ Copaque Production bertemakan haiwan rimba yang diangkat ke layar perak.
2. Filem animasi tempatan pertama yang menggunakan Dolby Atmos Finas.
3. Filem animasi tempatan pertama menggunakan teknik hibrid 3D dan kesan khas 2D.
4. Produksi filem ini yang dijangka mengambil masa dua tahun berjaya disiapkan hanya dalam tempoh setahun setengah atas kehebatan krew Les’ Copaque Production, yang kesemuanya merupakan anak seni tempatan.
5. Untuk visual, ini adalah julung kalinya teknik 2.5D digunakan di layar perak dengan menggabungkan animasi tradisional lukisan 2D frame by frame dan 3D keyframing animation.
6. Bahagian rendering dan kompositing menggunakan teknik “layer based”, dengan setiap babak memerlukan purata 50 lapisan—lima kali ganda lebih kompleks daripada siri Upin & Ipin. Proses rendering setiap babak mengambil masa sehari untuk memastikan hasil 2.5D yang terbaik.
Dongeng Sang Kancil adalah terbitan Les’ Copaque Production dengan kerjasama Astro Shaw sebagai pengedar dan pemasar. Jangan ketinggalan menyaksikan filem ini di pawagam bermula 26 Disember 2024. Gunakan #DongengSangKancil dan #WiraRimba untuk berkongsi pengalaman anda di media sosial, serta ikuti perkembangan terbaru di akaun rasmi Les’ Copaque Production dan Astro Shaw.