SINGAPURA – Kumpulan muzik yang bernadikan ‘symphonic rock’ ini mungkin agak jarang kedengaran di arena seni muzik tempatan, namun nama Life Petal sudah begitu dikenali di negara kelahiran mereka, Singapura. Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2013 ini bermula dengan menggunakan nama ‘Fassa De’ Rossa dan ditukar kepada Life Petal pada tahun 2014.
Perjuangan Life Petal yang telah bertapak lebih 10 tahun di dalam industri muzik, membuktikan bahawa mereka begitu serius dan ingin menjadikan muzik sebagai karier mereka. Pada tahun 2024 ini, bersempena menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelma beberapa hari lagi, Life Petal tidak ketinggalan untuk meluncurkan single lagu raya yang berjudul Lambaian Syawal. Menurutnya Lambaian Syawal adalah single mereka yang ke lapan dan berkonsepkan kepada rentak balada.

Apa yang menariknya, lirik Lambaian Syawal dengan penggunaan bahasa yang begitu puitis ini adalah hasil nukilan penulis lirik Mohd Khair Mohd Yasin yang begitu terkenal dalam penghasilan lagu yang cukup popular sekitar awal tahun 90an yang berjudul Cinta Melankolia. Manakala lagu telah digubah oleh Luqman Hakim dan Zax Ramli.
Menurut Luqman, Lambaian Syawal mengisahkan suasana menyambut Syawal secara umum, ada yang menyambut secara gembira dan ada pula dalam suasana yang sedih serta pilu.
“Kegembiraan kerana sudah menunaikan ibadah puasa selama sebulan dan tiba masanya umat Islam menyambut Hari Raya sebagai satu kemenangan buat mereka. Kesedihan pula kerana ada di kalangan anggota keluarga ataupun saudara mara yang telah pergi dijemput Ilahi terlebih dahulu dan pastinya mereka terkenang kerana tidak dapat menyambut sama seperti Hari Raya seperti sebelumnya.” Ujar Luqman.

Selain Luqman selaku ketua dan pemain keyboard, kumpulan ini juga turut dikuatkan dengan enam anggota lain, Zax Ramli (penyanyi utama), Farah (penyanyi kedua), Satria (gitar pertama), Nazzsym (gitar kedua), Lee (drum) dan Azim (bass). Mereka berharap agar Lambaian Syawal ini menjadi sebuah lagu yang malar segar dan sentiasa menjadi pilihan setiap kali menjelang Aidilfitri.
Dalam pada itu, Life Petal yang berinpirasikan band-band terkenal seperti Raven, Khalifah dan Mojo mereka juga menjadikan band-band Barat sebagai rujukan dalam bermuzik seperti Band Cardiant, Nightwish, Alcatrazz, Myrath dan Scorpion. Life Petal juga merujuk kepada penyampaian mesej tentang kehidupan iaitu ‘Life’ dan ‘Petal’ pula adalah kelopak bunga yang menunjukkan kiasan tentang alam cinta tidak kira hubungan sesama manusia mahupun Maha Pencipta.