May 22, 2024
lima telefilem rtm

KUALA LUMPUR – Lima telefilem baharu dengan pelbagai plot kisah menyerikan siaran televisyen saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi TV1, TV2 dan Okey sepanjang Aidilfitri 1445H ini.

Daripada drama menyentuh emosi hinggalah yang sarat dengan komedi semuanya menanti penonton setia RTM. Bermula dengan saluran TV1 menyiarkan dua telefilem mengisi slot Panggung RTM iaitu Raya Tak Nampak (13 April, 9.00 malam) dan Abyad Sofi (20 April, 9.00 malam). 

Raya Tak Nampak

Telefilem Raya Tak Nampak terbitan Unit Drama TV RTM ini mengisahkan misi tiga bujang cuba menyelamatkan seorang gadis buta yang sehelai sepinggang untuk pulang beraya menjadi huru hara apabila lakonan si buta pecah tembelang dan mereka dikejar gangster sebenar. Membariskan pelakon Wani Kayrie, Danial Zaini, Imran Aqil dan Mamak Puteh. 

Sementara itu, telefilem Abyad Sofi pula mengisahkan tentang wanita bernama Abyad Sofi yang merupakan pemilik sebuah spa kecantikan yang menghidap penyakit sindrom OCD. Dia seorang yang obses terhadap aturan dan kebersihan. Dia juga mempunyai seorang adik bernama Wardina yang bekerja sebagai pembaca berita. Sikapnya yang terlalu tegas di spa menyebabkan dirinya ditakuti para pekerja sendiri. Tunangnya, Rosli juga turut berasa keliru dengan diri Abyad. Bagaimanakah dia  berdepan dengan orang sekelilingnya? Lakonan Mimi Ernida, Fikry Ibrahim dan Kazar Saisi.

Ustazah Ekspress

TV2 pula tampil telemovie bertajuk Ustazah Ekspress pada 2 Syawal, pukul 9.00 malam yang membariskan pelakon utama Isyariana, Ashraf Muslim dan Dato’ Amin Khan. Kisahya tenatng Tania yang merupakan satu-satunya anak kesayangan Haji Omar. Tania berpewatakkan seperti tomboy yang gemar menunggang motorsikal dan terlibat dalam aktiviti merempit. Haji Omar sangat berharap agar anaknya itu berubah. Suatu hari Tania diugut oleh ayahnya jika tidak berubah Tania akan dimasukkan ke dalam lokap polis. Tania melarikan diri dan tersesat di rumah anak yatim kampung sebelah. Tania menyamar sebagai ustazah dan berkenalan dengan Ustaz Badrul.  

Saluran Okey pula tidak kurang menariknya menjanjikan dua telemovie terbaik iaitu Serambi Syurgamu (3 Syawal, 10.00 malam) dan Biniku Ratu Joran (4 Syawal, 10.00 malam). 

Serambi Syurgamu

Serambi Syurgamu menampilkan pelakon Shasha Abedul, Qi Razali, Normah Damanhuri, Sharifah Husna dan Firdaus Ghufran, plot kisah Orked, gadis berjiwa rock yang sentiasa ceria. Dia menjadi pelatih di sebuah syarikat di pinggir kota dan tinggal bersama abangnya, Budi. Sewaktu dalam perjalanan pulang dia bertemu dengan seorang tua yang ditinggalkan sehelai sepinggang. Wanita itu tidak memiliki telefon bimbit dan hilang ingatan. Dia bertekad untuk membantu menyatukan wanita tersebut ke pangkuan keluarganya. Namun kehadiran wanita tua tersebut telah mempertemukan Budi dengan Dr. Faz yang membawa kepada terbongkarnya peristiwa hitam sahabat barunya, Indra. 

Biniku Ratu Joran

Akhir sekali saksikan telefilem Biniku Ratu Joran menggandingkan pelakon utama Arief Yong, Dayana Roza, Idlan Pon dan Mahabbah Athirah. Dek kerana ingin memikat Amanina, Fatoni sanggup berlakon sebagai kaki joran namun akhirnya Fatoni sendiri tidak tahan beristerikan kaki joran. Amanina pula sukar menerima hakikat suami idamannya itu bukanlah kaki pancing sebenar. Dia merajuk dan mahu berpisah. Namun berjayakah mereka mempertahankan hubungan suami isteri antara mereka?