Loco Gegar Kuala Lumpur Dengan “Scraps Tour” November Ini

KUALA LUMPUR, 2 September 2025 – Peminat K-rap tanah air bakal disajikan dengan pengalaman istimewa apabila bintang rap Korea Selatan, Loco, mengadakan konsert solo sulungnya di Kuala Lumpur menerusi 2025 LOCO CONCERT: SCRAPS TOUR in KUALA LUMPUR pada 2 November (Ahad), jam 7 malam di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert ini dianjurkan bersama oleh Starry Live Entertainment dan The WonderLand+ sebagai sebahagian daripada jelajah Asia Loco yang turut meliputi Taipei, Bangkok, Singapura dan Hong Kong. Jelajah ini dilancarkan bersempena album studio ketiganya berjudul Scraps yang juga merupakan album pertama di bawah label miliknya, Locomotive. Album dengan 12 buah lagu ini menampilkan kolaborasi bersama nama-nama antarabangsa seperti Jordan Ward, 1MILL dan Feby Putri.

Sejak menjuarai musim pertama program realiti popular Korea Selatan, Show Me the Money pada tahun 2012, Loco semakin dikenali dengan deretan lagu hit termasuk No More, You Too dan Don’t Give It to Me. Beliau juga pernah berkolaborasi dengan artis ternama seperti Hwasa, Crush dan Gray, menjadikan namanya antara figura utama dalam arena hip hop Korea.

Persembahan Loco sering mendapat pujian kerana keintiman dan semangat yang dibawa di pentas, selain keupayaan untuk menghubungkan diri dengan peminat menerusi interaksi spontan. Konsert kali ini dijangka mencerminkan perkembangan beliau sebagai seorang artis sekaligus menjanjikan pengalaman penuh tenaga dan karisma.

Tiket bakal mula dijual pada 5 September, jam 11 pagi menerusi my.bookmyshow.com dengan harga berikut (tidak termasuk fi tiket):

  • VIP BOX (8 orang): RM5,500 (Pas & lanyard VIP, sesi raptai, foto berkumpulan, sesi ucap selamat tinggal, kad cenderahati; 60 peminat terpilih akan menerima poster bertandatangan).
  • VIP (Berdiri): RM648
    (Faedah sama seperti VIP BOX).
  • CAT 1 (Berdiri / Duduk): RM488
    (Kad cenderahati; sesi raptai; foto berkumpulan untuk 200 peminat; sesi ucap selamat tinggal untuk 300 peminat; 30 peminat bertuah terima poster bertandatangan).
  • CAT 2 (Duduk): RM348
    (Kad cenderahati; sesi ucap selamat tinggal untuk 100 peminat; 10 peminat bertuah terima poster bertandatangan).

Maklumat lanjut serta perkembangan terkini boleh diikuti melalui Instagram rasmi @starryliveent dan Facebook Starry Live Entertainment.