Ini bukanlah kali pertama Loudness menjejakkan kaki mereka di Malaysia. Band yang mencetuskan revolusi ‘rock timur’ ini pernah beberapa kali mengadakan persembahan di Kuala Lumpur, pada tahun 2011 di KL Live, diikuti dengan tahun 2017 di festival Sound Valley di MAEPS, Serdang dan terakhir pada tahun 2019 di The Bee, Publika.
Loudness sekali lagi bakal melakar sebuah lagi sejarah peribadinya di Malaysia apabila pihak penganjur, Rockstage Entertainment ‘mengikat’ mereka untuk kali ke 4. Berpaksikan ‘Loudness World Tour 2024 – Greatest Ever Heavy Metal’ bakal di berlangsung pada 14 September di Zepp Kuala Lumpur.
Memasuki edisi Rockstage VIII, konsert ‘Loudness World Tour 2024 – Greatest Ever Heavy Metal’ ini pastinya sesuatu yang cukup mengujakan selain bakal memberikan beberapa kejutan daripada Loudness itu sendiri apatah lagi ianya cukup bermakna buat ‘edisi Rockstage’yang bermula sejak tahun 2017.
“Sebelum ini, harga tiket yang kami tawarkan bermula RM280, namun setelah mengambil kira pelbagai faktor maka kami tawarkan dengan harga RM260. Ini akan memberikan para peminat akses yang lebih besar apabila menghadiri acara ini,”ujar Talib Othman selaku Pengarah Rockstage Entertainment.
“Bagi mereka yang mencari pengalaman yang tidak dapat dilupakan, peluang berjumpa dengan kumpulan Loudness (Meet & Greet) telah disediakan oleh pihak penganjur pada harga RM350, membolehkan peminat bertemu kumpulan itu dan mengabadikan kenangan bersama Loudness di Kuala Lumpur tahun ini.
“Selain daripada itu, para hadirin akan menerima beg tote percuma dan ‘bandana key’ sebagai barang- barang kenangan yang boleh dibawa pulang oleh mereka yang menghadiri konsert ini jikalau mereka membeli pakej Meet & Greet,” ujarnya lagi.
Rockstage Entertainment juga menegaskan bahawa adalah penting untuk memahami bahawa harga tiket tidak termasuk yuran pemprosesan, dan dengan kapasiti tempat Zepp Kuala Lumpur yang terhad kepada 2,200 orang, peminat digesa untuk tidak menangguhkan pembelian tiket mereka.
Selain daripada itu, Rockstage Entertainment juga berkata, bagi mereka yang mempunyai bajet yang ketat, Rockstage Entertainment menawarkan pilihan pembayaran yang fleksibel melalui Atome, membolehkan peminat membayar dalam tiga ansuran.
Loudness yang dibarisi Akira Takasaki (gitar), Minoru Niihara (penyanyi), Masayoshi Yamashita (bass) dan Masayuki Suzuki (dram) ini bukanlah asing bagi peminat muzik heavy metal tempatan apatah lagi mereka boleh diklasifikasikan sebagai ikon rock yang cukup berpengaruh sehingga mampu mengubah fesyen anak-anak muda satu ketika dahulu.
Loudness berjaya memikat ramai peminat dengan barisan lagu popular antaranya So Lonely, Heavy Chains, Lost Without Your Love, Crazy Night, Soldier of Fortune dan Let It Go.
Untuk rekod Loudness ditubuhkan pada 1981 oleh Takasaki dan bekas pemain dram, Munetaka Higuchi. Bagaimanapun, Higuchi meninggal dunia pada 30 November 2008 akibat kanser dan digantikan oleh Suzuki.